Isnin, 23 September 2019 | 4:37pm
Kakitangan lapangan terbang menunggu penumpang di pintu belakang pesawat Condor di Frankfurt, Jerman. Foto EPA

Condor jamin terus operasi, selepas Thomas Cook muflis

FRANKFURT: Syarikat penerbangan Jerman, Condor, hari ini, berkata mereka akan meneruskan operasi, walaupun selepas syarikat induknya dari Britain, iaitu Thomas Cook, diisytiharkan muflis.

Mengulas perkara itu, Condor berkata, pihaknya berjaya mengaut keuntungan selama bertahun-tahun dan berusaha mengelak isu kecairan membelenggu syarikat itu.

Justeru, Condor berkata, mereka sudah memohon penyambungan pinjaman yang dijamin kerajaan, yang kini sedang dinilai di Berlin.

“Kami akan terus memberi tumpuan kepada perkara yang kami lakukan dengan baik, iaitu menerbangkan pelanggan dengan selamat dan tepat mengikut masa, ke destinasi percutian mereka,” kata pengarah urusan Condor, Ralf Teckentrup.

Thomas Cook mengumumkan pengisytiharan muflis hari ini, selepas gagal memperoleh perjanjian ‘penyelamat’ bernilai 227 juta euro (RM1.04 bilion) daripada pelabur swasta, bagi mengatasi masalah kewangannya.

Dalam pada itu, kira-kira 600 pelancong dilaporkan terkandas di seluruh dunia, hingga memaksa Kerajaan Britain, menempah beberapa pesawat untuk membawa pulang kira-kira 150,000 rakyatnya, yang terjejas.

Kejatuhan syarikat yang sudah beroperasi selama 178 tahun itu, akan mengakibatkan kira-kira 22,000 kakitangannya di seluruh dunia, hilang pekerjaan. - AFP

Berita Harian X