Rabu, 11 September 2019 | 12:20am
Remaja kelainan upaya, Nora Quoirin, 15, yang meninggal dunia secara tragik di Malaysia disemadikan hari ini di tempat kelahiran ibunya di Belfast.

Mayat Nora Quiorin selamat disemadikan di Belfast

BELFAST: Remaja kelainan upaya, Nora Quoirin, 15, yang meninggal dunia secara tragik di Malaysia disemadikan hari ini di tempat kelahiran ibunya di Belfast.

Mayat remaja itu ditemui 13 Ogos lalu berhampiran air terjun, kira-kira 3.2 kilometer dari tempat penginapan keluarganya ketika bercuti di Negeri Sembilan.

Nora meninggal dunia akibat tekanan dan kebuluran selepas hilang dalam hutan selama 10 hari.

Mayatnya disemadikan hari ini dalam upacara penuh emosi di Gereja St Brigid di Belfast.

Ibunya, Meabh Quoirin, turut membacakan sajak yang menyentuh hati sebagai memperingati anak perempuannya itu.

Nora berada pada malam pertama ‘lawatan seumur hidup’ dengan keluarganya termasuk dua adiknya, Innes, 12 dan Maurice, lapan tahun, apabila dia hilang.

Beliau dipercayai meninggalkan bilik yang dihuni bersama dua adiknya di pusat peranginan Dusun dan merayau di dalam hutan.

Usaha mencari dilancarkan dan mayatnya ditemui dalam keadaan bogel oleh sepasukan sukarelawan, 10 hari selepas beliau hilang. — Agensi

4072 dibaca
Berita Harian X