Selasa, 10 September 2019 | 6:04pm

Mangsa keempat kes tembak meninggal dunia

THE HAGUE: Seorang wanita meninggal dunia akibat kecederaan di hospital selepas suaminya menembak beliau dan dua anak perempuannya sebelum menembak diri sendiri, kata pendakwa raya hari ini.

Kejadian berlaku malam semalam di rumah mereka di bandar raya Dordrecht, kira-kira 25 kilometer ke barat daya Rotterdam.

Polis berkata, pegawai berusia 35 tahun itu, dikenali sebagai Wencell C dalam media Belanda, menembak mati dua anak perempuannya berusia 12 dan lapan tahun, dan menyebabkan pasangannya cedera serius sebelum membunuh diri.

Wanita berusia 27 tahun itu meninggal dunia akibat kecederaan dialami di hospital pagi ini, kata jurucakap perkhidmatan pendakwaan awam Rotterdam, Rubinia Tjon-A-Sam.

“Kami masih menyiasat tetapi percaya ia ada kena mengena dengan masalah keluarga,” katanya.

Kenyataan polis berkata, lelaki itu adalah anggota polis Rotterdam.

Pasangan itu dalam proses berpisah tetapi masih tinggal bersama, lapor media Belanda. — AFP

622 dibaca
Berita Harian X