Ahad, 8 September 2019 | 11:16am
Gambar fail, Setiausaha Britain, Amber Rudd tiba untuk bermesyuarat kabinet di 10 Downing Street, Westminster, London, Isnin lepas. - Foto EPA

Amber Rudd umum peletakan jawatan

LONDON : Perdana Menteri Britain, Boris Johnson menerima tamparan terbaharu semalam apabila menteri kanan, Amber Rudd meletakkan jawatan sebagai tanda bantahan atas cara lelaki itu menangani krisis Brexit.

Peletakan jawatan beliau itu menambah luka pada minggu penuh getir dihadapi Johnson ketika beliau cuba mengemudi negara berkenaan yang kini berhadapan krisis paling besar selepas Perang Dunia Kedua.

Rudd ialah anggota berpendirian sederhana dalam kerajaan pimpinan Theresa May yang dipilih semula oleh Johnson ketika berjaya mengambil alih kuasa pentadbiran pada Julai lalu.

Namun wanita terbabit semalam memberitahu, beliau tidak lagi mampu bertolak ansur dengan kaedah digunakan Johnson dalam rundingan bersama Brussels atau cara Perdana Menteri itu menangani politik tempatan.

“Saya sudah meletakkan jawatan dari Kabinet dan menyerahkan Wip Konservatif.

“Saya tidak mampu bersabar apabila anggota Konservatif yang setia, baik dan sederhana disingkirkan,” katanya menerusi Twitter, merujuk kepada tindakan Johnson memecat 21 Ahli Parlimen dari Parti Konservatif kerana mengundi menentang Brexit di parlimen.

Rudd dalam surat peletakan jawatannya berkata, beliau tidak senang hati dengan komitmen ditunjukkan Johnson dalam membawa Britain meninggalkan Kesatuan Eropah (EU) pada 31 Oktober, walaupun jika kedua belah pihak gagal mencapai kata sepakat.

Wanita berusia 56 tahun itu berkata, beliau satu ketika dahulu melihat ancaman Johnson berhubung perpisahan ‘yang buruk’ sebagai taktik berguna untuk berunding bersama Brussels.

“Saya bagaimanapun tidak lagi percaya bahawa perjanjian itu adalah objektif utama kerajaan.

“Kerajaan menghabiskan banyak tenaga untuk bersiap sedia menghadapi kemungkinan ‘tiada perjanjian’ namun saya tidak melihat kesungguhan sama ditunjukkan ke atas rundingan bersama EU,” katanya dalam surat berkenaan. - AFP

1055 dibaca
Berita Harian X