Selasa, 27 Ogos 2019 | 10:35am
Penduduk memegang kain rentang bertulis dalam bahasa Urdu ‘Modi, wanita Kashmir bukan alat permainan,’ ketika mereka melaungkan slogan dalam bantahan ke atas India berhubung konflik Kashmir di Karachi, Pakistan. -Foto EPA

India, Pakistan mahu urus pertelingkahan Kashmir sendiri - Trump

BIARRITZ: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump berkata semalam, India dan Pakistan boleh menguruskan sendiri pertelingkahan mereka berhubung isu Kashmir, namun beliau bersedia campur tangan jika diperlukan.

Trump sebelum ini menawar diri menjadi orang tengah antara India dan Pakistan berhubung Kashmir, rantau pergunungan yang menjadi sumber konfrontasi berulang antara dua seteru berkuasa nuklear sejak memperoleh kemerdekaan daripada pemerintahan British pada 1947.

Trump membincangkan isu itu ketika sidang kemuncak G7 di Perancis bersama Perdana Menteri India, Narendra Modi yang melucutkan status autonomi di Jammu dan Kashmir pada 5 Ogos lalu.

“Kami berbincang malam tadi mengenai Kashmir, Perdana Menteri (Modi) berpendapat beliau mampu menguruskannya.

“Mereka bercakap dengan Pakistan dan saya pasti mereka berupaya melakukan sesuatu yang akan membawa manfaat,” katanya kepada media.

Trump menaikkan kemarahan kerajaan India bulan lalu apabila mengatakan Modi memintanya menjadi orang tengah dalam pertelingkahan itu, namun segera dinafikan New Delhi.

Sambil duduk bersama Trump, Modi berkata, Kashmir adalah isu dua hala antara India dan Pakistan.

Trump bertemu Modi untuk rundingan dua hala ketika sidang kemuncak G7 di Biarritz, Perancis. -Foto Reuters

Keputusan Modi melucutkan status autonomi rantau majoriti Islam itu mencetuskan bantahan selama beberapa minggu terutama di daerah bergolak Soura, yang muncul sebagai pusat utama rasa tidak puas hati.

Ia juga menarik kemarahan mendalam Pakistan yang berkata minggu lalu, ia akan membawa kes itu ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

Semalam, Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan berkata, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mempunyai tanggungjawab untuk memastikan penduduk Kashmir memiliki hak membuat keputusan mengenai masa depan mereka menerusi pungutan suara.

Beliau menyifatkan campur tangan Modi sebagai ‘kesilapan terbesar’ dan berkata, risiko konfrontasi nuklear antara dua negara bermaksud isu itu berlarutan melangkaui rantau berkenaan.

“Tanggungjawab hari ini bergantung kepada masyarakat antarabangsa,” kata Imran dalam ucapan khas disiarkan di televisyen berkaitan Kashmir, menambah Pakistan ‘sanggup membawa isu itu ke setiap forum’ untuk memberi tekanan terhadapnya.

Beliau menggesa rakyat Pakistan bekerja separuh hari Jumaat ini sebagai tanda sokongan kepada penduduk Kashmir. -Reuters

Berita Harian X