Selasa, 27 Ogos 2019 | 8:02am
Seorang petani Brazil berjalan melalui kawasan ladangnya yang terbakar di hutan hujan Amazon, berhampiran Porto Velho, , Brazil. - Foto AFP
Seorang petani Brazil berjalan melalui kawasan ladangnya yang terbakar di hutan hujan Amazon, berhampiran Porto Velho, , Brazil. - Foto AFP

G7 tawar bantuan kewangan tangani kebakaran di Amazon

BIARRITZ: Pemimpin negara G7 semalam menawarkan bantuan kecemasan AS$20 juta (RM84 juta) untuk memadamkan kebakaran hutan di Amazon.

Bagaimanapun, Brazil mengecam pertubuhan itu sebagai penjajah.

“Kami menawarkan bantuan kewangan kepada negara Amazon yang memberitahu kami keperluan mereka kewangan,” kata Macron.

Bagaimanapun, sejurus tawaran dibuat, Bolsonaro berkata Brazil dilayan seperti ‘negara jajahan atau tidak berharga’ dan mengecam pembentukan pakatan antarabangsa untuk menyelamatkan Amazon sebagai serangan ke atas kedaulatan negara itu.

Hubungan peribadi antara Presiden Perancis, Emmanuel Macron, dan Bolsonaro, yang tegang berikutan krisis di Amazon, semakin meruncing selepas presiden Brazil itu mempersendakan isteri Macron di Facebook.

Di sebalik kebakaran besar itu dan kenyataan Presiden Jair Bolsonaro sebelum ini bahawa kerajaannya kekurangan wang untuk menangani bencana berkenaan, masih tidak dapat dipastikan sama ada Brazil akan menerima tawaran G7 di tengah kebimbangan antarabangsa.

Semakin dipinggirkan oleh negara luar kerana pendiriannya mengenai krisis alam sekitar itu, Bolsonaro juga berhadapan tekanan di Brazil, dengan tinjauan pendapat semalam menunjukkan sokongan terhadap kerajaan menjunam kepada 29.4 peratus bulan ini.

Kebanyakan kebakaran yang melanda seluruh Amazon disyaki dimulakan dengan sengaja, dengan aktivis alam sekitar menyalahkan spekulator yang membakar tumbuh-tumbuhan untuk membersihkannya dengan harapan dapat menjual tanah kepada petani dan peladang.

Kemarahan dan kebimbangan global semakin memuncak berhubung kebakaran itu kerana kepentingan hutan hujan kepada alam sekitar.

Amazon kerap digambarkan sebagai ‘paru-paru dunia’ disebabkan kemampuannya menyerap karbon dioksida. — Reuters

Berita Harian X