Isnin, 29 Julai 2019 | 10:34pm
POLIS dan pembantu perubatan berada di lokasi kejadian selepas seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun maut manakala ibunya cedera ditolak lelaki tidak dikenali di stesen kereta api di Frankfurt, Jerman. - Foto AFP

Budak lelaki maut ditolak di stesen kereta api Jerman

FRANKFURT: Seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun maut manakala ibunya cedera selepas seorang lelaki tidak dikenali menolak mereka jatuh di hadapan sebuah kereta api di stesen kereta api di Frankfurt, Jerman hari ini.

Suspek seorang lelaki berusia 40 tahun yang berasal dari Afrika berjaya ditahan polis semasa cuba melarikan diri.

Ibu mangsa yang cedera dirawat di sebuah hospital selepas sempat melarikan diri dari landasan sejurus kereta api berkelajuan tinggi menghampiri anaknya.

Polis berkata, mereka sedang menyiasat kes itu dan motif suspek melakukan tindakan demikian.

“Kanak-kanak lelaki dan ibunya ditolak di hadapan sebuah kereta api yang baru tiba di stesen itu.

“Ibunya berjaya menyelamatkan diri,” kata jurucakap polis.

Serangan sama berlaku kira-kira sepuluh hari sebelumnya apabila seorang wanita berusia 34 tahun dilaporkan maut selepas ditolak di hadapan sebuah kereta api oleh seorang lelaki di Voerde, berhampiran Duisburg.-AFP.

Berita Harian X