Ahad, 28 Julai 2019 | 10:54am
RIBUAN penunjuk perasaan berhimpun di Bucharest semalam. - Foto EPA
RIBUAN penunjuk perasaan berhimpun di Bucharest semalam. - Foto EPA

Kes culik dan bunuh remaja perempuan cetus kemarahan ramai

BUCHAREST: Ribuan penunjuk perasaan berhimpun di Bucharest semalam selepas ketua polis Romania dipecat berhubung pembunuhan remaja perempuan berusia 15 tahun yang membuat tiga panggilan kecemasan apabila diculik, malah sempat memberi petunjuk mengenai lokasinya.

Menurut pengkritik, pihak berkuasa gagal mengambil tindakan sewajarnya dan bertindak terlalu lewat untuk menyelamatkan mangsa yang dikenali sebagai Alexandra.

Di celah-celah laungan dan desakan untuk kerajaan meletak jawatan, penunjuk perasaan meletakkan kalungan bunga dan lilin di memorial buatan sendiri di luar kementerian dalam negeri lewat semalam.

Menurut pendakwa, seorang suspek berusia 65 tahun sudah ditahan selepas penyiasat menggeledah rumahnya dan menemui rangka manusia serta perhiasan milik mangsa.

Suspek berulang kali menegaskan dia tidak bersalah dan tidak pernah bertemu mangsa namun gagal menjelaskan mengapa remaja berkenaan menggunakan telefon bimbit suspek.

Menteri Dalam Negeri, Nicolae Moga lewat Jumaat lalu mengumumkan beliau memecat ketua polis Buda kerana tindakan drastik diperlukan dalam kes berkenaan yang mencetuskan kemarahan pelbagai pihak.

Polis berkata, mangsa diculik Rabu lalu ketika cuba menumpang kenderaan untuk pulang ke rumah di Dobrosloveni di selatan Romania.

Mangsa pada keesokan pagi berjaya menghubungi talian kecemasan 112 sebanyak tiga kali dan memberikan petunjuk kepada polis berhubung lokasi dia dikurung. - AFP

Berita Harian X