Ahad, 14 Julai 2019 | 4:49pm
Lembu baka khas yang agresif akan dilepaskan dari kandang manakala peserta akan cuba mengelakkan diri daripada ditanduk atau dipijak haiwan berkenaan, pada hari terakhir festival San Fermin. - Foto Reuters

Enam pelari cedera, tiga disondol lembu dalam festival San Fermin

PAMPLONA (SEPANYOL): Enam pelari cedera, dengan tiga daripadanya disondol lembu pada hari terakhir festival San Fermin di bandar Pamplona, lapor Persatuan Palang Merah hari ini.

Setiap pagi bermula 7 hingga 14 Julai, ribuan orang ramai dengan sebahagian besar mengenakan baju T tradisional berwarna putih dan skarf merah, berbaris di sepanjang jalan sempit bandar Zaman Pertengahan itu untuk mengambil bahagian dalam acara yang berusia ratusan tahun iaitu lari bersama lembu.

Dalam larian sejauh 875 meter itu, enam ekor lembu baka khas yang agresif akan dilepaskan dari kandang manakala peserta akan cuba mengelakkan diri daripada ditanduk atau dipijak haiwan berkenaan.

Menurut Palang Merah, enam pelari yang cedera itu dimasukkan ke hospital untuk rawatan lanjut.

Seorang pegawai perubatan memberitahu, tiga pelari yang disondol lembu itu masing-masing mengalami kecederaan di bahagian ketiak, lengan dan kaki.

Kesemua lembu berkenaan akan dibunuh selepas itu di dalam gelanggang khas. - Reuters

Berita Harian X