Jumaat, 12 Julai 2019 | 7:33pm
- Gambar hiasan
- Gambar hiasan

Kes sifilis Eropah melonjak 70 peratus ekoran seks sejenis

LONDON: Kes sifilis melonjak di eropah, sejak sedekad lalu dan untuk kali pertama sejak 2000 menjadi lebih berleluasa di banyak negara berbanding kes baharu HIV, menurut kumpulan pakar kesihatan, hari ini.

Menurut laporan Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit Eropah (ECDC), kes penyakit bawaan seks meningkat sebanyak 70 peratus, sejak 2010.

Katanya, peningkatan itu disebabkan lebih banyak aktiviti seks tanpa perlindungan dan kelakuan seks berisiko di kalangan lelaki homoseks.

“Peningkatan jangkitan sifilis di seluruh Eropah adalah kesan daripada seks tanpa kondom dan bertukar pasangan seks selain perasaan semakin tidak takut dijangkiti HIV,” kata pakar ECDC, Andrew Amato-Gauci.

Laporan itu diterbitkan, selepas Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), bulan lalu, memaklumkan kira-kira sejuta individu di seluruh dunia dijangkiti penyakit bawaan seks setiap hari.

Jika tidak dirawat, sifilis membawa kesan teruk pada lelaki dan wanita termasuk kematian bayi dalam kandungan, kematian bayi dan peningkatan risiko HIV.

Di peringkat dunia, sifilis adalah punca utama kematian bayi pada 2016.

ECDC yang berpangkalan di Stockholm memantau kesihatan dan penyakit di Eropah. Katanya, secara keseluruhan lebih 260,000 kes sifilis dilaporkan dari 30 negara dari 2007 hingga 2017. - Reuters

Berita Harian X