Ahad, 7 Julai 2019 | 7:08pm
Pesta larian lembu di Pamplona, Sepanyol, hari ini. - Foto AFP
Pesta larian lembu di Pamplona, Sepanyol, hari ini. - Foto AFP

3 cedera ditanduk lembu ketika pesta Pamplona

MADRID: Dua warga Amerika Syarikat (AS) dan seorang rakyat Sepanyol dikejarkan ke hospital selepas mengalami kecederaan ketika menyertai pesta larian lembu di Pamplona, Sepanyol, kata pihak berkuasa hari ini.

Larian lembu adalah acara paling diminati pengunjung ketika berlangsungnya pesta San Fermin selama seminggu di sini.

“Jumlah mangsa yang dirawat di wad kecemasan hospital Navarra dilaporkan meningkat kepada lima orang, tiga daripadanya akibat ditanduk lembu,” kata pentadbir wilayah Navarra menerusi Twitter.

Pihak berkuasa dalam satu kenyataan berkata, mangsa cedera termasuk dua rakyat AS berusia 23 dan 46 tahun serta seorang warga Sepanyol yang cedera di paha kiri.

Media tempatan berkata, mangsa yang ditanduk lembu mengalami kecederaan serius.

Pertarungan dan larian lembu adalah sebahagian daripada acara tradisional semasa pesta musim panas di seluruh Sepanyol.

Mereka yang berumur 18 tahun ke atas dibenarkan menyertai larian Pamplona walaupun pihak berkuasa memberi amaran mengenai risikonya.

Sejak 1911, seramai 16 orang maut dalam acara itu dan insiden terakhir direkodkan pada 2009. - AFP

Berita Harian X