Selasa, 21 Mei 2019 | 10:27am
Gambar fail Abdul Razak Baginda (tengah) meninggalkan mahkamah bersama isteri dan anak perempuannya di Shah Alam pada 31 Oktober 2008. -Foto AFP
Gambar fail Abdul Razak Baginda (tengah) meninggalkan mahkamah bersama isteri dan anak perempuannya di Shah Alam pada 31 Oktober 2008. -Foto AFP

Perancis gugur tuduhan 'rasuah pasif' terhadap Abdul Razak Baginda

PARIS: Perancis menggugurkan beberapa dakwaan ke atas sekutu bekas Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak, Abdu Razak Baginda, berhubung bayaran suapan dalam satu perjanjian pembelian kapal selam, kata sumber perundangan negara itu semalam.

Abdul Razak menjadi penasihat Najib ketika bekas pemimpin itu menjadi Menteri Pertahanan antara 2000 hingga 2008 dalam perjanjian bernilai kira-kira satu bilion euro (RM4.67 bilion) untuk membeli dua kapal selam Scorpene dan satu kapal selam Agosta dari unit tentera laut Perancis, DCN, dikaitkan dengan kumpulan pertahanan negara itu, Thales International Asia

Najib sendiri terbabit dalam skandal rasuah besar-besaran membabitkan syarikat dana, 1Malaysia Development Bhd (1MDB) di Malaysia di mana beliau turut disoal dalam isu kes kapal selam terbabit.

Satu siasatan terhadap perjanjian itu dilancarkan pada 2010 mendedahkan, Terasasi, firma yang mana pemegang saham utamanya adalah Abdul Razak, menerima jumlah sama untuk harga kapal selam itu dalam tugas rundingan. Penyiasat percaya, ia adalah pendahuluan untuk bayaran suapan terbabit.

Abdul Razak didakwa di Perancis pada Julai 2017 dengan tuduhan ‘rasuah aktif dan pasif’ serta ‘penyelewengan aset korporat.’

Sumber perundangan berkata, mahkamah rayuan di sini menggugurkan dakwaan ‘rasuah pasif’ namun mengekalkan baki tuduhan.

Peguam Abdul Razak, Caroline Toby memberi bayangan, beliau akan membuat rayuan bagi pihak anak guamnya.

Empat eksekutif industri pertahanan Perancis sudah didakwa dalam kes itu. Mereka ialah dua bekas pengerusi DCNI, Philippe Japiot dan Dominique Castellan, serta dua bekas ketua Thales International Asia, Bernard Baiocco dan Jean-Paul Perrier.

Kesemua empat lelaki terbabit menafikan tuduhan ke atas mereka dan menafikan membuat urusan langsung dengan Abdul Razak.

Penyiasat Perancis juga meneliti dakwaan bahawa 114 juta euro (RM532.61 juta) dibayar kepada sebuah syarikat berpusat di Malaysia, Perimekar, sebagai sebahagian perjanjian. Syarikat itu dikawal isteri Abdul Razak ketika itu.

Bagaimanapun, bayaran itu kemungkinan berada di luar bidang kuasa Perancis oleh kerana ia tidak dibuat kepada syarikat negara itu. -AFP

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X