Khamis, 2 Mei 2019 | 9:47pm
Sophie Turner dan Joe Jonas. Foto Agensi

Joe Jonas, Sophie Turner sah berkahwin

LONDON: Penyanyi Joe Jonas dilaporkan sudah berkahwin dengan pelakon siri televisyen, Game of Thrones, Sophie Turner semalam, selepas gambar pasangan itu di hadapan penghibur pengajuk Elvis Presley di Las Vegas dikongsi menerusi media sosial.

Pasangan itu dilaporkan berkahwin selepas Jonas, yang juga anggota kumpulan Jonas Brother mengadakan persembahan dengan adik beradiknya di Anugerah Muzik Billboard, di bandar raya itu.

Menurut wakil Turner, yang memegang watak sebagai Sansa Stark dalam musim terakhir Game of Thrones, mengesahkan kepada Reuters menerusi e-mel bahawa pasangan itu yang bertunang pada 2017, sudah berkahwin.

Deejay radio Amerika Syarikat Diplo turut berkongsi beberapa video pasangan berkenaan menerusi akaun Instagram, yang menunjukkan Turner berpakaian putih, dan Jonas tiba di lokasi perkahwinan, dengan kapsyen ‘perkahwinan ini akan berlangsung dengan pantas’.

Video lain yang turut dikongsi memaparkan Jonas, 29, sedang menunggu di bersama penghibur pengajuk di akhir laluan.

Pengantin perempuan berusia 23 tahun juga dilihat berjalan di laluan dengan memakai kerudung sambil memegang sejambak bunga, ketika kumpulan San + Say menyanyikan lagu ‘Speechless’.

Satu video lagi yang dikongsi di sosial media menunjukkan pasangan itu bertukar lafaz pernikahan di hadapan penghibur pengajuk Presley.

Sebelum ini, laman web hiburan melaporkan bahawa pasangan itu bercadang berkahwin di Perancis pada musim panas ini.

Sementara itu, dalam temubual dengan majalah Harper’s Bazaar terbitan Mac lalu, Turner berkata, pasangan itu mahu mengadakan majlis perkahwinan secara sederhana.

Majlis perkahwinan itu diadakan lima bulan selepas adiknya, Nick berkahwin dengan pelakon Priyanka Chopra di India. - Reuters

Berita Harian X