Isnin, 18 March 2019 | 11:00pm
Pasukan khas polis Belanda mengepung sebuah bangunan untuk mencari penyerang dalam insiden tembakan dalam tram di Utrecht, hari ini. -Foto EPA

Terkini - Polis Belanda buru lelaki Turki tembak 3 mangsa

UTRECHT: Seorang penyerang bersenjata menembak mati tiga orang dan mencederakan sembilan lain dalam sebuah tram di bandar Belanda di sini hari ini dan polis berkata, mereka memburu lelaki Turki berusia 37 tahun dalam serangan dianggap berunsur keganasan.

Pihak berkuasa Belanda meningkatkan tahap ancaman keganasan ke paras tertinggi di wilayah ini dengan sekolah diarah menutup pintu dan polis separa tentera menaikkan kawalan keselamatan di lapangan terbang dan infrastruktur penting lain selain masjid.

Perdana Menteri Mark Rutte mempengerusikan rundingan krisis, mengatakan beliau amat bimbang dengan insiden itu, berlaku tiga hari selepas penyerang membunuh 50 orang dalam tembakan besar-besaran dua masjid di Christchurch, New Zealand.

“Polis meminta maklumat Gokmen Tanis (lahir di Turki) berusia 37 tahun dalam kaitan dengan insiden pagi ini,” kata polis Belanda dalam satu kenyataan.

Mereka mengeluarkan imej lelaki itu dan memberi amaran kepada orang awam supaya jangan mendekatinya dan tidak memberi butiran lanjut.

Datuk bandar Utrecht, Jan van Zanen, berkata tiga orang dibunuh dan sembilan cedera, tiga daripadanya parah dalam insiden tram terbabit.

“Negara kita dikejutkan dengan serangan di Utrecht. Polis dan pendakwa raya meneliti apa yang berlaku. Apa yang diketahui berlaku tembakan dalam tram di Utrecht,” kata Rutte dalam satu kenyataan.

Rutte tidak mengulangi dakwaan awal insiden itu mungkin mempunyai motif keganasan.

Akhbar Algemeen Dagblad, memetik saksi berkata, lelaki bersenjata menyasar seorang wanita dalam tram dan kemudian menembak individu yang cuba membantunya. -Reuters

Pegawai polis bersenjata ditempatkan di stesen kereta api di Rotterdam, The Netherlands, hari ini susulan insiden tembakan di Utrecht. Kawalan tambahan turut diletakkan di bangunan dan masjid sekitar bandar itu. -Foto EPA

Berita Harian X