Isnin, 4 March 2019 | 9:26pm
Penunjuk perasaan membakar tong sampah ketika bantahan anti-kerajaan ‘ves kuning’ Lille, utara Perancis, 2 Mac lalu. -Foto AFP

'Bom najis' senjata baharu 'ves kuning'

MARSEILLE: Polis Perancis berdepan senjata bentuk baharu ketika bantahan ‘ves kuning’ iaitu beg diisi dengan najis dibaling seperti bom oleh penunjuk perasaan.

“Sabtu lalu, beg dipenuhi najis dibaling ke arah polis dan meletup. Tiga anggota polis berlumuran najis akibat tindakan itu,” kata Rudy Manna daripada pakatan kesatuan polis Alliance di bandar pelabuhan selatan di sini.

Ibu pejabat polis di sini berkata, seorang anggotanya cedera pada siku apabila terkena lontaran diisi najis. Insiden sama berlaku di bandar selatan Montpellier, kata wakil kesatuan polis.

Polis berkata, ada gesaan di media sosial sebelum bantahan Sabtu lalu supaya penunjuk perasaan menyiapkan diri dengan ‘Caca-tovs’ sempena bom api namun diisi ‘caca’ atau najis dalam bahasa Perancis.

“Anggota polis amat malu,” kata Manna menambah tiada seorang pun pelaku itu, terselit dalam kalangan kira-kira 1,000 penunjuk perasaan di sini, dikenal pasti.

Sabtu lalu menandakan hujung minggu ke-16 berturut-turut bantahan ‘ves kuning’ di Perancis sejak November lalu, sering menyaksikan pasukan keselamatan menjadi sasaran batu dan objek lain.

Pihak berkuasa berkata, hampir 40,000 orang mengambil bahagian. Sejumlah 11 orang maut ketika bantahan yang bermula akibat cukai minyak namun berkembang kepada tentangan penduduk di luar bandar dan pekan ke atas Presiden Emmanuel Macron. -AFP

Penunjuk perasaan ‘ves kuning’ memegang sepanduk bertulis ‘Macron anda keluar’ berhampiran replika Statue of Liberty memakai baju kuning dalam bantahan 2 Mac lalu. -Foto AFP

Berita Harian X