Jumaat, 1 March 2019 | 8:39am
Gambar fail 5 Oktober 2018 menunjukkan paramedik Palestin mengusung penunjuk perasaan yang cedera ketika pertembungan di sempadan Gaza-Israel. -Foto AFP

Israel wajar didakwa bunuh rakyat Palestin - PBB

GENEVA/BAITULMAQDIS: Pasukan keselamatan Israel mungkin melakukan jenayah perang dan jenayah ke atas kemanusiaan dalam pembunuhan 189 penduduk Palestin dan mencederakan lebih 6,100 lain dalam bantahan mingguan di Gaza tahun lalu, kata penyiasat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), semalam.

Panel bebas itu berkata, ia memiliki maklumat sulit mengenai pihak yang dipercayai bertanggungjawab atas pembunuhan tanpa undang-undang, termasuk penembak hendap Israel dan komander. PBB menggesa Israel menghukum pihak disebutkan.

“Pasukan keselamatan Israel membunuh dan mencacatkan penunjuk perasaan Palestin yang tidak memberi ancaman atau mencederakan secara serius yang lain ketika mereka ditembak, walaupun tidak terbabit secara langsung dalam demonstrasi itu,” katanya menambah bantahan ketika itu ‘terkawal.’

Mangsa termasuk kanak-kanak, wartawan dan individu tanpa kaki serta berkerusi roda.


Gambar fail saudara-mara mangsa tembakan Israel meratapi kematian anggota keluarga mereka. -Foto Reuters

Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu menolak laporan itu dan menuduh Majlis Hak Asasi Manusia PBB, yang melancarkan siasatan sebagai hipokrit dan berbohong disebabkan ‘kebencian melampau terhadap Israel.’

Israel berkata, pasukannya melepaskan tembakan untuk melindungi sempadan daripada pencerobohan dan serangan pejuang bersenjata.

Presiden Palestin, Mahmoud Abbas berkata, penemuan itu mengesahkan, ‘Israel melakukan jenayah perang ke atas rakyat kami di Gaza dan Tebing Barat termasuk Baitulmaqdis.’

Beliau berkata, Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) sepatutnya bertindak segera dan menyiasat perkara itu.

Protes di sempadan antara Israel dan Semenanjung Gaza bermula Mac tahun lalu, apabila penduduk menuntut Israel melonggarkan sekatan di wilayah itu serta pengiktirafan hak kembali ke tanah yang mana keluarga mereka diusir ketika negara Yahudi itu diasaskan pada 1948.

Panel itu mendapati, 183 daripada 189 penunjuk perasaan dibunuh dengan peluru hidup dan menyuarakan kebimbangan mendalam terhadap peraturan ditetapkan kepimpinan awam dan tentera yang jelas ‘membenarkan tembakan hidup dilepaskan ke arah penunjuk perasaan sebagai jalan terakhir dan menembak kaki ‘penghasut utama.’


Israel sengaja menembak penduduk cacat, berkerusi roda, kanak-kanak, wartawan atau paramedik yang bersamaan jenayah perang atau jenayah ke atas kemanusiaan serta melanggar undang-undang kemanusiaan antarabangsa. -Foto Agensi

Katanya, tanggapan Israel terhadap ‘penghasut utama’ tidak wujud dalam undang-undang antarabangsa. Tambahnya, kira-kira 122 mangsa yang cedera terpaksa dipotong anggota tubuh termasuk 20 kanak-kanak.

Tiada tentera Israel terbunuh dalam bantahan, kecuali seorang dan bukan di tapak bantahan, sementara empat lagi cedera, kata panel itu.

Laporan itu, meliputi bantahan 30 Mac hingga 31 Disember 2018, adalah berdasarkan ratusan wawancara dengan mangsa dan saksi, serta rekod perubatan, video dan rakaman dron serta gambar.

Pada 14 Mei lalu, tentera Israel membunuh 60 penunjuk perasaan, angka kematian tertinggi dalam sehari di Gaza sejak serangan tentera 2014, kata laporan.

Amnesty International dalam satu kenyataan berkata: “Mereka yang bertanggungjawab atas jenayah berat ini wajar dihukum dengan setimpal. Penemuan laporan itu perlu memberi laluan untuk mendapatkan keadilan mangsa jenayah perang ini.”

Penyiasat berkata, Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia PBB, Michelle Bachelet perlu berkongsi penemuan beliau dengan ICC.

Israel bukan anggota ICC atau mengiktiraf bidang kuasanya, namun mahkamah berpusat di The Hague membuka siasatan awal terhadap dakwaan pelanggaran hak asasi manusia Israel di wilayah Palestin pada 2015.

Semenanjung Gaza, wilayah tepi laut ditadbir Hamas menempatkan dua juta penduduk Palestin. Israel mengundurkan tentera dan peneroka dari Gaza pada 2005 namun mengekalkan kawalan ketat sempadan darat dan laut. Mesir juga mengehadkan pergerakan keluar dan masuk ke Gaza.

“Sesetengah pelanggaran ini bersamaan jenayah perang atau jenayah ke atas kemanusiaan dan perlu segera disiasat Israel.

“Siasatan kami mendapati, penunjuk perasaan sebahagian besarnya tidak bersenjata walaupun ia bukan aman sepanjang masa,” kata pengerusi panel Santiago Canton, seorang pakar perundangan Argentina dalam taklimat.

Katanya, 35 kanak-kanak, dua wartawan dan tiga paramedik yang jelas ‘bertanda’ antara yang dibunuh tentera Zionis, dalam pelanggaran undang-undang kemanusiaan antarabangsa.

“Kami mengatakan mereka sengaja menembak kanak-kanak, sengaja menembak individu cacat dan wartawan.

“Kami mendapati seorang individu, yang tiada kaki, ditembak dan dibunuh ketika duduk di kerusi roda. Dalam dua hari berasingan, dua individu yang jelas memakai tongkat, ditembak di kepala dan terbunuh,” kata anggota panel, Sara Hossain, peguam di Mahkamah Agung Bangladesh. - Reuters

Berita Harian X