Khamis, 21 Februari 2019 | 6:46pm
Berlaku pertembungan dengan polis Catalonia ketika cubaan menghalang penunjuk perasaan memasuki stesen kereta api Sants dalam mogok 24 jam. -Foto EPA
Berlaku pertembungan dengan polis Catalonia ketika cubaan menghalang penunjuk perasaan memasuki stesen kereta api Sants dalam mogok 24 jam. -Foto EPA

Aktivis bakar tayar, sekat lebuh raya, bantah perbicaraan pemisah Catalonia

GIRONA: Kumpulan aktivis Catalonia membakar tayar dan cuba menyekat lebuh raya di seluruh kawasan timur laut Sepanyol hari ini sebagai sebahagian sehari bantahan menentang perbicaraan 12 pemimpin politik pemisah atas peranan mengisytiharkan kemerdekaan wilayah itu pada 2017.

Sebanyak 11 lebuh raya di Catalonia terjejas akibat bantahan, lapor polis, menambah mereka berusaha memastikan aliran lalu lintas lancar.

Polis berkata, berlaku pertembungan dengan penunjuk perasaan namun tiada insiden besar dilaporkan.

Polis anti-rusuhan Catalonia, Mossos d'esquadra menahan penunjuk perasaan yang menyekat lebuh raya Gran Via ketika mogok 24 jam di Barcelona. -Foto EPA
Polis anti-rusuhan Catalonia, Mossos d'esquadra menahan penunjuk perasaan yang menyekat lebuh raya Gran Via ketika mogok 24 jam di Barcelona. -Foto EPA

Anggota kumpulan tempatan, menamakan diri mereka Jawatankuasa Pertahanan Republik (CDRs), melancarkan bantahan sama di seluruh rantau itu sejak penahanan terbabit susulan pengisytiharan tidak sah pemisahan dalam Parlimen Catalan.

Seramai 12 pemimpin pemisah Catalonia dibicarakan di Madrid minggu lalu atas tuduhan cubaan gagal mengisytiharkan kemerdekaan, mencetuskan krisis terbesar politik di Sepanyol sejak berdekad lalu.

Kumpulan pro-kemerdekaan Catalonia hari ini merancang mogok sebagai bantahan yang termasuk perarakan diadakan penyokong kumpulan awam Omnium dan Perhimpunan Kebangsaan Catalan (ANC) tengah hari dan perarakan lebih besar sebelah petang. -Reuters

Berita Harian X