Jumaat, 15 Februari 2019 | 9:01pm
Sanchez mengumumkan pilihan raya awal Sepanyol pada 28 April ini selepas mesyuarat Kabinet luar biasa di Istana Presiden Moncloa, Madrid, susulan penolakan cadangan bajet beliau di Parlimen. -Foto EPA
Sanchez mengumumkan pilihan raya awal Sepanyol pada 28 April ini selepas mesyuarat Kabinet luar biasa di Istana Presiden Moncloa, Madrid, susulan penolakan cadangan bajet beliau di Parlimen. -Foto EPA

PM Sepanyol umum pilihan raya awal 28 April

MADRID: Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez hari ini memanggil pilihan raya umum lebih awal pada 28 April, kali ketiga dalam tempoh tidak sampai empat tahun selepas draf bajetnya ditolak Parlimen, dikaitkan krisis pemisahan Catalan.

“Antara dua pilihan - tidak berbuat apa-apa dan meneruskannya tanpa bajet atau memberi rakyat Sepanyol hak mereka, saya memilih yang kedua,” kata Sanchez kepada media sebelum mengumumkan tarikh berkenaan.

Sanchez mengambil alih kuasa hanya lapan bulan lalu selepas beliau menyingkirkan seteru konservatifnya dalam usul undi tidak percaya di Parlimen, namun menyaksikan penggal bergolak selepas itu.

Sebagai ketua kerajaan minoriti rapuh, pemimpin berusia 46 tahun itu terpaksa bergantung kepada sokongan mustahil sekutunya dalam Parlimen termasuk parti haluan kiri Podemos, pembuat dasar nasionalis Basque dan paling penting 17 ahli Parlimen (MP) pemisah Catalan.

Kelmarin, MP Catalan menyertai pembuat dasar sayap kanan untuk menolak cadangan bajet beliau.

Mereka menarik balik sokongan berikutan bantahan terhadap pemimpin pemisah yang dibicarakan atas peranan mereka dalam cubaan memisahkan Catalonia daripada Sepanyol pada 2017.

Walaupun sebelum pengumuman Sanchez, anggota sosialis sudah mencetuskan nada seperti berkempen, menuduh pemisah Catalan dan konservatif, menyekat bajet yang termasuk banyak langkah perbelanjaan sosial selepas bertahun penjimatan.

Hari ini, Sanchez mengecam langkah menyekat bajet sosial selepas tujuh tahun ketidakadilan sosial, penjimatan dan pemotongan perbelanjaan.

Beliau menekankan rekod singkat kerajaannya, daripada peningkatan 22 peratus gaji minimum sehinggalah menentang kemiskinan tenaga.

“Ia berakhir dengan penggal bergolak, menyimpang,” kata pensyarah politik Universiti Complutense Madrid, Prof Paloma Roman.

Sanchez dikecam oleh Parti Popular (PP) yang konservatif, parti tengah-kanan Ciudadanos dan terkini, haluan kanan lebih kecil, Vox.

Ahad lalu, mereka menggesa bantahan besar-besaran di sini untuk memohon pilihan raya awal.

Satu daripada kebimbangan terbesar adalah rundingan kerajaan sosialis dengan eksekutif pemisah Catalonia ketika Madrid cuba meredakan ketegangan dengan rantau timur laut itu.

Ketika Madrid berkata ia memulakan rundingan untuk cuba mencari jalan keluar daripada krisis berterusan, pembangkang menuduhnya tunduk kepada tuntutan pemisah untuk kekal berkuasa.

Beberapa tinjauan pendapat menyaksikan kemenangan parti Sosialis Sanchez dalam pilihan raya namun gagal membentuk majoriti dalam Parlimen walaupun dengan Podemos.

Tinjauan berkata, PP, Ciudadanos dan Vox yang bangkit baru-baru ini berikutan ketegasannya terhadap pemisahan Catalonia, mungkin berupaya membentuk majoriti.

Ia akan menjurus kerajaan pakatan dengan PP dan Ciudadanos, dibentuk dengan sokongan Vox, yang berlaku di rantau selatan Andalusia selepas undian tempatan di sana Disember lalu.

“Ketegangan antara kerajaan pusat dan Catalonia kemungkinan meningkat dalam senario ini,” kata pakar ekonomi ING untuk Sepanyol dan Portugal, Steven Trypsteen.

Senario lain katanya, mungkin blok sayap kanan tidak memiliki pembuat dasar mencukupi untuk membentuk majoriti. -AFP

Berita Harian X