Isnin, 28 Januari 2019 | 8:12am
Penunjuk perasaan ‘skaf merah’ memegang sepanduk bertulis ‘Hentikan Keganasan’ ketika berarak menentang keganasan ‘ves kuning’ di Paris, semalam. -Foto EPA

'Skaf merah' berhimpun menentang 'ves kuning' di Paris

PARIS: Lebih 10,000 orang yang memakai skaf merah berarak di ibu kota ini semalam dalam bantahan terhadap keganasan ‘ves kuning’ ketika demonstrasi anti-kerajaan yang menarik ratusan ribu orang di jalanan sejak 11 minggu lalu.

Sejak pertengahan November lalu, Presiden Emmanuel Macron menawarkan kompromi dan debat bagi meredakan perhimpunan mingguan sering berakhir dalam pertembungan ganas dengan polis, cabaran paling getir terhadap kerajaan pimpinannya.

Anggota ‘ves kuning’ menjerit ke arah ribuan ‘skaf merah’ di Tugu Bastille, Paris, semalam. -Foto EPA

Dalam bantahan lawan semalam, orang ramai berarak dalam hujan dari dataran Place de la Natuin ke tugu Bastille, sesetengah melaungkan ‘Ya kepada demokrasi, tidak kepada revolusi,’ ketika mereka mengibarkan bendera Perancis dan Kesatuan Eropah (EU).

Digelar pergerakan ‘skaf merah,’ inisiatif golongan haluan tengah itu dimulakan seorang jurutera dari Toulouse yang bimbang dengan keganasan dilakukan penunjuk perasaan yang melampaui batas, ‘ves kuning.’

Kebanyakan penunjuk perasaan yang menyertai perhimpunan itu berkata, mereka bukan menentang tuntutan ‘ves kuning’ untuk bantuan lebih besar kepada golongan miskin Perancis, namun sudah muak dengan pertembungan dan kemusnahan sepanjang bantahan 11 Sabtu berturut-turut sejak pertengahan November lalu.

Laurent Soulie, penganjur perarakan berkata, bantahan itu sebagai maklum balas terhadap gesaan kepada ‘majoriti senyap yang bersembunyi dalam rumah selama 10 minggu.’ -AFP

Berita Harian X