Jumaat, 11 Januari 2019 | 10:31pm
Peserta demonstrasi ‘ves kuning’ di Paris, minggu lalu. - Foto AFP

Bantahan 'ves kuning' dijangka lebih besar, ganas

PARIS: Pegawai Perancis menjangkakan demonstrasi ‘ves kuning’ yang dirancang diadakan hujung minggu ini lebih besar dan ganas berbanding seminggu lalu, ketika pergerakan bantahan yang menunjukkan tanda surut pada penghujung 2018 memperoleh tenaga baru.

Ketua Polis Negara, Eric Morvan, memberitahu radio French Inter beliau menjangka ‘kembalinya tahap pergerakan yang dilihat sebelum cuti Krismas’, untuk bantahan Sabtu kesembilan berturut-turut di seluruh negara, yang dicemari pertempuran dengan polis dan kemusnahan hartanah.

Pada 5 Januari lalu, kira-kira 50,000 peserta demonstrasi memakai ves yang jelas kelihatan pergerakan itu mengadakan bantahan di Paris dan beberapa bandar raya lain, meningkat berbanding Disember tetapi jauh lebih rendah daripada hampir 300,000 yang hadir dalam bantahan awal pertengahan November lalu.

Ketua Polis Paris, Michel Delpuech, berkata beliau menjangka penunjuk perasaan di Paris akan mengatasi anggaran 3,500 peserta yang cuba berarak pada Perhimpunan Kebangsaan minggu lalu, dan meramalkan lebih ramai ‘akan tergoda melakukan keganasan’.

Ketua keselamatan di wilayah Cher mengumumkan bahawa ‘ves kuning’ akan dihalang daripada melakukan demonstrasi di lokasi bersejarah Bourges.

Bantahan minggu lalu dicemari pertempuran dan kemusnahan yang dilihat pada kemuncak bantahan lewat November dan awal Disember lalu.

Dalam dua adegan mengejutkan yang dirakamkan video, sekumpulan penunjuk perasaan menggunakan foklif untuk merempuh pintu jurucakap kerajaan, Benjamin Griveaux. dan bekas peninju profesional memukul dua pegawai polis yang mengawasi jambatan di sungai Seine. — AFP

Berita Harian X