Jumaat, 11 Januari 2019 | 9:32am
Salji tebal menyelubungi bandar Berchtesgaden, Bavaria, Jerman. Ribut salji diramal terus melanda selatan Jerman dan Austria, sekali gus meningkatkan risiko salji runtuh di wilayah berkenaan. Foto EPA

Salji tebal paksa stesen ski di Austria ditutup

VIENNA: Salji tebal yang melanda beberapa bahagian di Austria memaksa beberapa stesen meluncur salji atau ski ditutup, selain menyebabkan penghantaran garam bagi mencairkan salji tertangguh, sekali gus menyukarkan usaha membersihkan jalan raya.

Malah, salji setebal sehingga tiga meter turut menenggelamkan beberapa kawasan di barat dan tengah negara itu, mengakibatkan ia terputus hubungan.

“Apa yang boleh kami katakan, secara statistiknya jumlah salji yang banyak di kawasan melebihi 800 meter altitud hanya berlaku sekali dalam tempoh 30 tahun hingga 100 tahun,” kata wakil Institusi Meteorologi dan Geodinamik Pusat Austria, Alexander Radlherr.

Sementara itu, jurucakap syarikat pengeluar garam, Salinen Austria berkata kepada agensi APA, walaupun terdapat peningkatan permintaan terhadap garam, tetapi mereka berdepan dengan masalah penghantaran, berikutan penutupan beberapa jalan.

Pada masa sama, kira-kira 500 kakitangan syarikat itu juga tidak dapat ke ibu pejabat syarikat itu, yang terletak di daerah pergunungan, Salzkammergut.

Selain itu, stesen meluncur salji di beberapa wilayah seperti Styria, Upper dan Lower Austria juga terpaksa ditutup, susulan kebimbangan berlakunya salji runtuh, kejadian pokok tumbang atau insiden terputus bekalan elektrik.

Sebahagian kawasan di negara ini, diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga selepas tujuh peluncur salji dan pendaki terbunuh sejak Sabtu lalu, manakala dua lagi pendaki dilaporkan masih hilang.

Ketika ini, ratusan anggota tentera, bomba, kakitangan awam dan sukarelawan sedang bertungkus lumus membersihkan jalan raya serta bumbung yang ditenggelami salji tebal. - AFP

Berita Harian X