Sabtu, 22 Disember 2018 | 3:43pm
Penunjuk perasaan ‘ves kuning’ melakukan tunjuk perasaan di plaza tol Le Boulou, Perancis. - Foto AFP

Kumpulan 'ves kuning' sedia lanjut bantahan minggu keenam

PARIS: Kumpulan penunjuk perasaan ‘ves kuning’ bersedia melakukan tunjuk perasaan yang memasuki minggu kelima hari ini, meskipun bilangan mereka di jalan raya semakin merosot mendadak apabila polis bertindak membersihkan kem penunjuk perasaan semasa menjelang percutian perayaan Krismas, Selasa depan.

Penunjuk perasaan berpecah semalam sama ada mereka akan melakukan satu lagi demonstrasi besar di Paris atau berhampiran bandar Versailles, dekat sini.

Bimbangkan berlaku rusuhan, pihak berkuasa berkata mereka menutup Istana Istana Versailles dan taman berhampiran yang menjadi lokasi pelancongan ternama, hari ini.

Ketua penganjur ‘ves kuning’, Eric Drouet di dalam Facebook, menyenaraikan 1,400 orang sebagai ‘peserta’ manakala 8,000 lagi menyatakan mereka ‘berminat’ menyertai di demonstrasi Versailles.

Dalam pada itu, pemilik kedai di Paris yang kebanyakan mereka masih menutup kedai sejak dua minggu lalu bagi mengelakkan insiden keganasan, diminta supaya berhati-hati.

Difahamkan, demonstrasi seterusnya akan diadakan di Lyon, Toulouse, Orleans dan Brittany.

Pergerakan ‘ves kuning’ di Perancis pada awalnya bermula sebagai bantahan mengenai kenaikan bahan api tetapi merebak menjadi tunjuk perasaan besar-besaran menentang dasar Presiden Emmanuel Macron. - AFP

Berita Harian X