Ahad, 16 Disember 2018 | 1:57pm
Seorang penunjuk perasaan mengadakan demonstrasi ‘Vest Yellow’vest kuning’ di Paris, Perancis. - Foto EPA

Kumpulan 'Ves Kuning' mula reda minggu ke-5

PARIS: Kumpulan penunjuk perasaan ‘ves kuning’ berdepan ribuan polis sekitar Perancis ketika tunjuk perasaan masuk minggu kelima dan ia seakan hilang momentum pada minggu penentu.

Presiden Perancis, Emmanuel Macron, berdepan krisis terbesar sepanjang menjadi presiden, mengumumkan beberapa siri konsesi Isnin lalu untuk mengawal krisis ‘ves kuning’ yang merebak dari kawasan pedalaman dan bandar kecil Perancis, bulan lalu.

Pakej cukai dan gaji minimum untuk pekerja berpendapatan rendah, ditambah keadaan cuaca sejuk hujung minggu ini, membantu menenangkan keadaan negara yang bergolak sejak lebih sebulan lalu.

Pada masa sama, Perancis turut dilanda serangan pengganas pada Selasa lalu, apabila seorang lelaki bersenjata melepaskan tembakan di pasar Krismas di Strasbourg, menyebabkan empat terbunuh dan kerajaan menggesa orang ramai tidak keluar rumah sebagai langkah keselamatan.

Menteri Dalam Negeri, Christophe Castaner berkata, setakat ini seramai lapan orang sudah meninggal dunia susulan demonstrasi dan mereka diminta agar menghentikan tindakan mereka di seluruh negara.

“Keselamatan semua menjadi keutamaan, dialog perlu diadakan untuk menyatukan semua yang mahukan perubahan Perancis,” katanya.

Ketua Perhimpunan Kebangsaan, Richard Ferrand mengalu-alukan ‘tindakan perlu’ untuk menghentikan perhimpunan itu sambil menambah terdapat tindak balas terhadap permintaan mereka.

Menurut kementerian dalam negeri dianggarkan 66,000 orang berarak di sepanjang jalan di seluruh Perancis petang semalam, separuh daripada jumlah yang terbabit minggu lalu. - AFP

Berita Harian X