Jumaat, 7 Disember 2018 | 8:32pm
Negara paling kaya dunia menunjukkan pertumbuhan perlahan dan tetap dalam penggunaan internet, meningkat 51.3 peratus daripada jumlah penduduk pada 2005 kepada 80.9 peratus ketika ini. -Foto Agensi
Negara paling kaya dunia menunjukkan pertumbuhan perlahan dan tetap dalam penggunaan internet, meningkat 51.3 peratus daripada jumlah penduduk pada 2005 kepada 80.9 peratus ketika ini. -Foto Agensi

3.9 bilion penduduk dunia guna internet: PBB

GENEVA: Kira-kira 3.9 bilion orang kini menggunakan internet, bermaksud buat kali pertama lebih separuh populasi global berada dalam talian, kata Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) hari ini.

Agensi PBB untuk teknologi maklumat dan komunikasi (ITU), berkata menjelang akhir 2018, 51.2 peratus penduduk di seluruh dunia akan menggunakan internet.

“Menjelang akhir 2018, kami akan melepasi pencapaian 50/50 untuk penggunaan internet. Ini mewakili satu langkah penting ke arah masyarakat maklumat global lebih inklusif,” kata ketua ITU, Houlin Zhou dalam satu kenyataan.

Beliau menambah, pada masa sama terlalu ramai orang di seluruh dunia masih menunggu untuk meraih faedah ekonomi digital.

Zhou menggesa lebih banyak sokongan kepada ‘inovasi teknologi dan perniagaan supaya revolusi teknologi tidak meninggalkan sesiapa pun di luar talian.’

Menurut ITU, negara paling kaya dunia menunjukkan pertumbuhan perlahan dan tetap dalam penggunaan internet, meningkat 51.3 peratus daripada jumlah penduduk pada 2005 kepada 80.9 peratus ketika ini.

Sementara itu, pencapaian terbabit lebih dramatik di negara membangun di mana 45.3 peratus penduduk ketika ini dalam talian berbanding hanya 7.7 peratus 13 tahun lalu.

Afrika mengalami pertumbuhan paling kukuh, dengan lebih 10 kali ganda kenaikan dalam jumlah pengguna internet pada tempoh sama, daripada 2.1 peratus kepada 24.4 peratus, laporan ITU menunjukkan.

Laporan itu juga berkata, ketika langganan talian tetap terus menurun di seluruh dunia kepada paras terkini hanya 12.4 peratus, jumlah langganan telefon bimbit kini jauh lebih besar berbanding populasi global.

Ia mendapati, langganan jalur lebar mudah alih meningkat berbanding hanya empat bagi setiap 100 penduduk pada 2007 kepada 69.3 pada hari ini.

ITU mendapati, ada 5.3 bilion pelanggan aktif jalur lebar mudah alih di seluruh dunia. -AFP

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X