Khamis, 1 November 2018 | 10:12pm
PELANCARAN roket Soyuz. - Foto EPA

Masalah pemasangan punca pelancaran Soyuz gagal

KOROLYOV: Kegagalan pelancaran roket Soyuz bulan lalu berpunca daripada alat pengesan yang rosak ketika pemasangan, kata Russia sambil menambah kapal angkasa itu masih boleh diharapkan.

Russia, satu-satunya negara yang mampu membawa angkasawan ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS), menghentikan semua pelancaran selepas roket Soyuz rekaannya gagal beberapa minit sejurus dilancarkan 11 Oktober lalu.

Ia insiden pertama dalam sejarah pasca penerokaan angkasa Soviet.

Ketua suruhanjaya siasatan insiden terbabit, Oleg Skorobogatov berkata penerbangan itu dihentikan kerana sebahagian daripada alat pengesan yang menunjukkan pemisahan berperingkat roket berkenaan rosak semasa pemasangan di Kosmodrom Baikonur di Kazakhstan.

“Punca pemisahan tidak standard itu adalah akibat kecacatan bahagian semasa pemasangan, kata Skorobogatov pada satu sidang akhbar di pusat kawalan misi di luar Moscow.

Agensi angkasa Russia berkata semalam, ia berharap untuk menghantar kru baru ke ISS pada 3 Disember ini.

Angkasawan terbabit adalah kosmonaut Russia, Oleg kononenko, angkasawan Kanada David Saint-Jacques dan Anne McClain dari Pentadbiran Aenorautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan Amerika Syarikat (NASA).

Seorang Kosmonaut Russia dan angkasawan Amerika Syarikat (AS) terselamat awal bulan ini selepas kapal angkasa Soyuz ke Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) mengalami masalah, dua minit sejurus berlepas dari Kazakhstan. - AFP

Berita Harian X