Rabu, 3 Oktober 2018 | 9:39am
GAMBAR fail, seorang budak lelaki menolak kereta sorong yang dipenuhi bekas air selepas mengumpulnya dari paip air di Sanaa, Yemen. - Foto REUTERS
GAMBAR fail, seorang budak lelaki menolak kereta sorong yang dipenuhi bekas air selepas mengumpulnya dari paip air di Sanaa, Yemen. - Foto REUTERS

WHO lancar vaksinasi taun kedua di Yaman

GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata semalam, ia membantu kerajaan Yaman menerusi pusingan kedua vaksinasi menentang taun di tiga daerah paling teruk terjejas, ketika kes wabak penyakit itu meningkat di negara dilanda perang terbabit.

Lebih 2,500 orang maut akibat jangkitan bawaan air sejak wabak terburuk taun dalam sejarah Yaman bermula April 2017, dengan hampir sejuta kes disyaki dilaporkan di seluruh negara.

Epidemik taun Yaman reda seketika namun jurucakap WHO, Tarik Jasarevic memberi amaran satu peningkatan baharu berlaku.

“Kami menyaksikan jumlah kes taun meningkat di Yaman sejak Jun lalu dan peningkatan itu malah lebih ketara sejak tiga minggu lalu,” katanya kepada media di sini.

Sepanjang lapan bulan pertama tahun ini, Yaman merekodkan hampir 155,000 kes taun disyaki termasuk 197 kematian.

Namun pada minggu terakhir Ogos sahaja, 9,425 kes disyaki taun direkodkan di seluruh negara dan seminggu kemudian, jumlah kes disyaki direkodkan meningkat kepada 11,478, kata WHO.

WHO memberi amaran, Yaman berdepan epidemik ketiga taun ketika hujan musim luruh meningkatkan risiko jangkitan selepas dilanda dua wabak taun besar-besaran dalam tempoh kurang dua tahun.

Katanya, dalam cubaan menghalang ‘gelombang ketiga,’ WHO, UNICEF (Tabung Kanak-kanak PBB) dan rakan lain mula membantu kerajaan 30 September lalu untuk menyediakan dos kedua daripada pemvaksinan oral dua dos di tiga daerah paling terjejas.

Ogos lalu, hampir 390,000 daripada lebih 500,000 orang disasarkan di daerah Al-Hali dan Al-Marawiah di pentadbiran Hodeida dan di Hazm Al Udayn di wilayah Ibb menerima dos pertama.

Katanya, jumlah sama akan disasarkan dengan matlamat memvaksin 540,000 orang. -AFP

Berita Harian X