Isnin, 2 Julai 2018 | 2:26pm
CANSELOR Jerman, Angela Merkel. - Foto Reuters
CANSELOR Jerman, Angela Merkel. - Foto Reuters

Kerajaan Merkel goyah, menteri letak jawatan isu pendatang

MUNICH: Pakatan kerajaan Canselor Jerman, Angela Merkel berdepan masa depan tidak menentu ketika Menteri Dalam Negeri konservatifnya, Horst Seehofer menawar diri meletak jawatan semalam selepas beberapa minggu berbalah berkaitan dasar pendatang.

Seehofer memberitahu pemimpin parti konservatif Bavarian CSU, beliau mahu meletak jawatan sebagai kedua-dua ketua parti dan menteri, mengatakan beliau 'tidak mendapat sokongan,' kata sumber dalam pertemuan tertutup di sini.

Namun ketua kumpulan Parlimen CSU, Alexander Dobrindt 'enggan menerima peletakan jawatan Seehofer', kata peserta perbincangan sengit selama beberapa jam itu.

Kekurangan kejelasan daripada kem Bavarian menimbulkan persoalan mengenai masa depan gabungan pemerintah Merkel antara pakatan CDU-CSU dan Parti Demokratik Sosial (SPD) berhaluan kiri.

Jika Seehofer benar-benar meletak jawatan, CSU masih dapat menawarkan penggantian jawatan Menteri Dalam Negeri jika ia kekal dengan pakatan parti CDU pimpinan Merkel.

Secara alternatifnya, ia mungkin memecahkan perkongsian panjang selama berdekad dua parti, menenggelamkan harapan Merkel memperoleh majoriti dalam Parlimen dan membawa Jerman ke kancah persekitaran politik tidak menentu. -AFP

Berita Harian X