X
Rabu, 13 Jun 2018 | 11:30pm

Ratusan kanak-kanak berisiko hilang nyawa di Hodeida

PARIS: Kumpulan bantuan makanan Perancis, hari ini memberi amaran kehidupan ratusan kanak-kanak berada dalam risiko di Hodeida selepas tentera dibantu Arab Saudi melancarkan serangan besar-besaran untuk menawan semula bandar raya pelabuhan itu.

Tentera Yaman yang dibantu pasukan antarabangsa diketuai Arab Saudi, hari ini mengesahkan operasi mereka untuk menawan semula bandar raya itu daripada pemberontak Houthi, di sebalik amaran kesan 'bencana' oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Hodeida adalah pelabuhan utama membawa masuk makanan ke Yaman yang diperlukan untuk mencegah kebuluran selepas empat tahun perang yang mencetuskan krisis kemanusiaan terburuk dunia itu.

"Apa yang berlaku hari ini boleh meningkatkan kadar kematian, meningkatkan bilangan kanak-kanak yang meninggal dunia, meningkatkan isu bekalan air, akses air dan bekalan makanan," kata pengarah operasi Asia Barat bagi Action Contre La Faim (ACF),

Jon Cunliffe.

Badan kebajikan itu yang memerangi kelaparan buat masa ini membantu memberi makan 760 kanak-kanak yang tidak mendapat zat makanan teruk di Hodeida.

"Mereka akan mati kecuali mendapat makanan," kata Cunliffe.

Hodeida adalah antara wilayah paling terus terjejas akibat perang antara pemberontak disokong Iran dan pakatan negara Arab Sunnah diketuai Arab Saudi.

ACF, yang membantu membekalkan makanan kepada hampir 4,000 kanak-kanak tidak mendapat zat di wilayah itu juga menyediakan penjagaan kesihatan kepada ribuan lagi, berkata serangan hari ini berisiko menjadikan harga makanan melambung, yang sudah pun tinggi sejak minggu lalu. - AFP

Berita Harian X