Selasa, 29 Mei 2018 | 11:28pm
TAUFAN Maria yang membadai Puerto Rico pada 2017, menjadi punca kematian lebih 4,600 orang - Foto AFP
TAUFAN Maria yang membadai Puerto Rico pada 2017, menjadi punca kematian lebih 4,600 orang - Foto AFP

Taufan Maria ragut 4,500 nyawa di Puerto Rico

TAMPA: Taufan Maria yang membadai Puerto Rico pada 2017, menjadi punca kematian lebih 4,600 orang, kira-kira 70 kali ganda lebih tinggi berbanding anggaran rasmi, kata penyelidik Amerika Syarikat (AS) hari ini.

Angka kematian yang diberi kerajaan hanya 64 orang, namun pakar berkata, kiraan yang tepat agak rumit susulan gangguan kuasa dan kemusnahan meluas ribut itu yang menyebabkan kerugian AS$90 bilion (RM358.92 bilion), berada di kedudukan taufan ketiga paling mahal di AS sejak 1900.

Siasatan awal bebas sebelum ini meletakkan jumlah sebenar kematian hampir 1,000 orang.

Namun anggaran terbaharu, dikumpulkan penyelidik Universiti Harvard, mendapati ia jauh lebih tinggi iaitu 4,645 kematian ketika hari serangan taufan pada 20 September hingga 31 Disember 2017.

Sebagai perbandingan, angka kematian akibat Taufan Katrina pada 2005, taufan paling mahal dalam sejarah AS, jauh lebih rendah dengan anggaran 1,833 kematian.

Kebanyakan kematian selepas Maria di Puerto Rico dipersalahkan ke atas gangguan dalam penjagaan perubatan berikutan ketiadaan bekalan kuasa serta jalan raya disekat atau dihanyutkan, kata laporan diterbitkan dalam New England Journal of Medicine. -AFP

Berita Harian X