Selasa, 6 Februari 2018 | 9:16pm

Bayi dijangkiti Zika mungkin alami kerosakan otak

PARIS: Bayi dijangkiti virus Zika mungkin mengalami kerosakan otak teruk walaupun jika mereka tidak menunjukkan gejala utama iaitu berkepala kecil, menurut kajian dijalankan ke atas monyet.

Itu bermakna, kanak-kanak yang mengalami kerosakan otak mungkin tidak dikenal pasti dan terlepas terapi memperbaiki kehidupan, kata saintis melaporkan dalam jurnal sains Nature Medicine.

"Kriteria terkini menggunakan saiz kepala untuk mendiagnosis kecederaan berkaitan otak akibat Zika gagal menemui kerosakan tidak ketara yang menjurus masalah pembelajaran penting dan gangguan kesihatan mental di kemudian hari.

"Kita menjalankan diagnosis hanya di permukaan sahaja," kata penulis utama kajian, Kristina Waldorf dari Sekolah Perubatan Universiti Washington di Seattle.

Waldorf dan pasukannya, menganalisis otak lima janin monyet yang mana ibu mereka dijangkiti virus Zika.

Monyet dianggap model haiwan lebih dekat untuk menunjukkan kehamilan manusia.

Hanya satu daripada janin monyet itu menunjukkan kecacatan fizikal pada peringkat awal, namun imbasan imej resonans magnetik (MRI) kemudian mendedahkan, otak empat daripada lima janin itu tidak berkembang seperti sepatutnya.

Bahagian otak paling terjejas adalah tempat di mana sel otak baharu dijana.

"Kerosakan tidak ketara akibat virus ini ketika perkembangan janin atau kanak-kanak mungkin tidak kelihatan selama beberapa tahun, namun mungkin menyebabkan kelewatan neurokognitif dalam pembelajaran dan peningkatan risiko mendapat gangguan neurologi seperti skizofrenia dan awal dementia (nyanyuk).

"Penemuan ini menekankan lagi perlunya tindakan segera untuk satu vaksin berkesan bagi mencegah jangkitan virus Zika," kata rakan Waldorf dan penulis bersama, Lakshmi Rajagopal.

Sejak Zika meletus dalam skala besar pertengahan 2015, lebih 1.5 juta orang dijangkiti virus terbabit, kebanyakannya di Brazil dan negara lain di Amerika Selatan. - AFP

Berita Harian X