Daripada Ahmad Fiesal Othman
ASTANA: Reformasi Perlembagaan yang dilaksanakan Kazakhstan bakal menyaksikan rakyat kini berpeluang menggunakan hak mengundi semasa untuk memilih kepimpinan pilihan mereka.
Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (CEC), Mukhtar Yerman, berkata Kazakhstan telah memulakan satu siri reformasi Perlembagaan dalam tempoh 10 bulan lalu yang telah diusahakan dengan gigih dan bermakna bagi memperkukuh nilai demokrasi dan menjadikan negara sebuah persekutuan yang kuat dan maju.
Beliau berkata, reformasi Perlembagaan mewujudkan sistem berbilang parti di negara itu dan menjalankan pilihan raya dalam tempoh 10 bulan adalah satu peristiwa penting dalam sejarah Kazakhstan.
"Institusi kami dan semua rakan kongsi patut dipuji... dengan usaha mereka kita memasuki era demokrasi baharu hari ini.
"Perundangan baharu dan pembaharuan Perlembagaan akan mengubah sistem sedia ada dan menjadikan sistem kerajaan negara berasaskan kesaksamaan dan kecekapan, yang akan membawa negara ke landasan pembangunan," katanya dalam taklimat menjelang pilihan raya di pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya di sini, semalam.
Hadir sama Timbalan Pengerusi CEC, Konstantin Petrov dan Ahli CEC, Schegortsova Anastassiya
Pilihan Raya Parlimen diadakan hari ini, menampilkan seramai 359 calon daripada tujuh parti utama dengan setiap parti mempunyai manifesto berbeza berhubung pembangunan Kazakhstan.
Yerman berkata, Suruhanjaya Pilihan Raya sudah bersiap sedia sepenuhnya untuk menghadapi pilihan raya dan mendapat kepercayaan semua parti politik negara.
Beliau berkata, 800 pemerhati antarabangsa dan 250 wartawan sentiasa menyemak dan membuat liputan mengenai pilihan raya kali ini.
"Teknologi digital moden akan dilaksanakan sepenuhnya dalam proses pilihan raya supaya berjalan dengan cekap dan telus.
"Semua parti politik juga telah diberikan peluang yang sama rata dan keputusan yang baik dijangka melalui undian," katanya.