BEIJING: Sampel genetik yang dikumpulkan dari sebuah pasar di China, berhampiran lokasi kes pertama manusia dijangkiti COVID-19 dikesan, menunjukkan DNA anjing rakun yang dikesan bercampur virus berkenaan.
Ia sekali gus menambah bukti kepada teori bahawa virus itu berasal daripada haiwan dan bukannya dari makmal, menurut pakar antarabangsa.
"Data-data ini tidak memberikan jawapan pasti kepada persoalan bagaimana pandemik COVID-19 bermula. Namun, setiap data adalah penting untuk membawa kita lebih dekat lagi kepada jawapan yang dicari," kata Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tedros Adhanom Ghebreyesus, semalam.
Anjing rakun - nama itu diberikan berikutan muka haiwan berkenaan seperti rakun - sering dibiakkan untuk bulunya dan dagingnya dijual di pasar haiwan seluruh China.
Persoalan mengenai asal usul COVID-19 masih belum terungkai hingga kini. Ramai saintis percaya manusia menjangkiti coronavirus itu daripada haiwan, seperti banyak virus lain pada masa lalu, di sebuah pasar haiwan liar di Wuhan, China.
Namun, Wuhan juga menempatkan beberapa makmal yang terbabit dalam aktiviti mengumpul dan mengkaji coronavirus, menyebabkan timbul teori kemungkinan berlaku kebocoran virus berkenaan dari sana.
Penemuan baharu itu belum diteliti secara rasmi oleh pakar lain atau diterbitkan dalam jurnal semakan.
Tedros bagaimanapun mengkritik China kerana tidak kongsikan maklumat genetik itu lebih awal, dengan menegaskan 'data berkenaan boleh dan sepatutnya dikongsikan tiga tahun lalu.'
Sampel terbabit dikumpulkan dari Pasar Makanan Laut Huanan pada awal 2020 di Wuhan yang merupakan lokasi di mana kes pertama manusia dijangkiti COVID-19 dikesan pada akhir 2019.
Tedros memaklumkan baru-baru ini, jujukan genetik berkenaan dimuat naik ke pangkalan data virus awam terbesar dunia oleh saintis di Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit China.
Ia kemudian dikeluarkan, namun seorang pakar biologi Perancis dapat melihat maklumat itu secara kebetulan dan kongsikannya dengan sekumpulan saintis berpangkalan di luar China yang sedang mengkaji asal usul coronavirus itu.
Data itu menunjukkan beberapa sampel positif COVID-19 dikumpulkan dari sebuah gerai diketahui terbabit penjualan haiwan liar, turut mengandungi genetik anjing rakun. Ia menunjukkan haiwan itu berkemungkinan telah dijangkiti virus berkenaan, menurut saintis. Analisis mereka dilaporkan kali pertama dalam The Atlantic.
"Ada peluang cerah bahawa haiwan yang empunya DNA itu juga mempunyai virus berkenaan," kata pakar virologi dari University of Utah, Stephen Goldstein yang turut terbabit dalam kerja analisis data berkenaan. - AP