Sabtu, 18 March 2023 | 8:30am
Timbalan Menteri Luar Kazakhstan, Roman Vasilenko. Foto AGENSI
Timbalan Menteri Luar Kazakhstan, Roman Vasilenko. Foto AGENSI

Kazakhstan memasuki proses pembangunan baharu

Daripada Ahmad Fiesal Othman

ASTANA: Selepas Pilihan Raya Presiden November lalu, Kazakhstan mengorak langkah kemajuan penting ke arah kemajuan demokrasi negara itu menerusi Pilihan Raya Parlimen (Majlis) yang diadakan esok.

Timbalan Menteri Luar, Roman Vasilenko, berkata pilihan raya itu adalah peristiwa luar biasa bagi Kazakhstan kerana ia satu lagi langkah ke hadapan yang diperkenalkan ke arah kemajuan demokrasi dan membabitkan penyertaan penduduk.

Beliau berkata, Kazakhstan menjadi negara baharu yang mana pemodenan politik sedang berjalan di negara itu,

"Kami sedang membina Kazakhstan baharu, paling utama ialah mewujudkan Kazakhstan yang adil," katanya dalam taklimat kepada kumpulan wartawan yang dijemput Kementerian Luar Kazakhstan untuk membuat liputan awal pilihan raya Parlimen dan Perbandaran berikutan pindaan Perlembagaan komprehensif yang diluluskan baru-baru ini.

Presiden Kazakhstan, Kassym-Jomart Tokayev membubarkan Parlimen pada 19 Januari dan memulakan proses pilihan raya dengan menandatangani dekri pilihan raya awal.

Sebanyak 7 parti politik akan menyertai pilihan raya esok iaitu Parti Rakyat Kazakhstan, Parti Patriotik Demokratik Rakyat Auil, Parti Demokratik Sosial Kebangsaan, Parti Amanat, Parti Ak Jol, Parti Demokratik Kazakhstan, Parti Hijau Baytak dan Parti Republik.

Salah satu isu penting dalam pilihan raya itu ialah pengurangan ambang 7 peratus sedia ada kepada 5 peratus, dan parti politik serta Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) akan menamakan calon Parlimen mereka sendiri.

Seramai 70 peratus timbalan menteri akan memasuki Parlimen Kazakhstan, yang terdiri daripada 98 kerusi secara keseluruhan, akan dipilih daripada parti politik dan 30 peratus daripada wilayah ahli tunggal.

Selain itu, peruntukan 30 peratus kerusi Parlimen kepada wanita, anak muda dan warganegara berkeperluan khas diluluskan oleh undang-undang.

Sebaliknya, kuota timbalan dari Perhimpunan Rakyat Kazakhstan untuk memasuki Perhimpunan telah dimansuhkan.

Vasilenko berkata, walaupun menghadapi kesukaran, kerajaan berjaya melakukan pembaharuan dan meminda Perlembagaan, dan pilihan raya yang bakal diadakan akan menjadi yang paling kompetitif dalam sejarah negara itu.

Katanya, penyertaan tujuh parti dalam pilihan raya itu adalah sumbangan kepada pembangunan demokrasi di Kazakhstan.

Beliau berkata, penyertaan 359 calon dalam pilihan raya tidak pernah berlaku sebelum ini dan kira-kira 800 pemerhati dan 250 wartawan asing telah dijemput ke Kazakhstan untuk memastikan ketelusan pilihan raya.

"Kami mahu rakyat kami terus mengambil bahagian dalam proses politik. Inilah intipati konsep kerajaan yang mendengar. Pemodenan Kazakhstan akan diteruskan dan selepas pilihan raya, Presiden sedang menyediakan inisiatif baharu untuk pembaharuan dalam negara," katanya.

Pilihan raya Parlimen (Majlis) adalah peringkat terakhir transformasi politik yang berlaku di Kazakhstan sejak 14 bulan lalu yang mana Tokayev telah memutuskan untuk mengukuhkan reformasi yang dimulakannya untuk dilaksanakan selepas berkuasa pada 2019.

Beliau merancang untuk membuat beberapa inovasi selepas pilihan raya mengenai banyak topik seperti pemodenan institusi negara, pentadbiran yang telus, pembangunan mekanisme keadilan, pengembangan hak asasi manusia dan kebebasan serta sasaran baharu dalam ekonomi.

Berita Harian X