Selasa, 7 Februari 2023 | 7:15pm
Seorang wanita duduk di atas runtuhan ketika pasukan penyelamat giat mencari mangsa di bawah sisa bangunan yang musnah di bandar Nurdagi di pinggir bandar Osmaniye selatan Turkiye. - Foto AP
Seorang wanita duduk di atas runtuhan ketika pasukan penyelamat giat mencari mangsa di bawah sisa bangunan yang musnah di bandar Nurdagi di pinggir bandar Osmaniye selatan Turkiye. - Foto AP

Angka korban gempa bumi di Turkiye, Syria lebih 5,000

HATAY: Pasukan penyelamat di Turkiye dan Syria hari ini melakukan misi mereka dalam cuaca sejuk, gegaran susulan dan bangunan runtuh ketika berusaha mengeluarkan mangsa tertimbus yang terselamat akibat gempa bumi yang mengorbankan lebih 5,000 orang.

Agensi bencana, berkata ribuan bangunan menjadi rata di bandar merentasi wilayah sempadan yang luas, menambahkan lagi kesengsaraan mereka yang berada di kawasan yang sudah dilanda perang, pemberontakan, krisis pelarian dan wabak taun baru-baru ini.

Sepanjang malam, mangsa yang terselamat tanpa menggunakan sebarang peralatan berusaha menyelamatkan keluarga, rakan dan sesiapa sahaja yang terperangkap dalam runtuhan blok apartmen bertingkat, susulan gempa bumi berukuran 7.8 pada skala Richter yang melanda awal pagi semalam.

"Di mana ibu saya?" tanya seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun yang kecewa dengan wajah, rambut dan baju tidurnya dipenuhi habuk dari sebuah bangunan runtuh di Hatay, bandar yang terletak sebelah sempadan Turkiye.

Beberapa kemusnahan paling teruk berlaku berhampiran pusat gempa antara Kahramanmaras dan Gaziantep, sebuah bandar dengan dua juta penduduk yang mana keseluruhan blok yang runtuh itu ditutupi timbunan salji.

Ketika penduduk berusaha membersihkan timbunan batu-bata, kesan runtuhan bangunan bertingkat, sebuah lagi bangunan berdekatan runtuh, menyebabkan orang ramai menjerit dan berlari mendapatkan perlindungan.

Dengan gegaran susulan yang menggegarkan kawasan itu, mangsa yang terselamat ketakutan dan keletihan akibat berada semalaman di luar rumah, tetapi terlalu takut untuk pulang ke rumah. -AFP

Berita Harian X