NEW DELHI: Pakistan akan menghantar bantuan kemanusiaan setiap hari untuk mangsa gempa bumi di Turkiye dan Syria ketika jumlah kematian akibat bencana yang melanda pada Isnin itu melebihi 5,000 orang pada Selasa.
"Mulai 8 Februari, penerbangan PIA (Pakistan International Airlines) akan menghantar 15 tan bantuan kemanusiaan setiap hari dari Islamabad dan Lahore ke Turkiye dan Syria," lapor Associated Press of Pakistan (APP).
Sebuah pesawat Tentera Udara Pakistan yang membawa pasukan mencari dan menyelamat telah sampai ke Adana satu daripada kawasan yang terjejas akibat bencana itu.
Sebuah pesawat PIA akan berlepas pada Selasa yang membawa bersama anggota Rescue 1122 dan 15 tan bantuan kemanusiaan.
Pasukan Kor Perubatan Tentera Darat Pakistan dan Kementerian Kesihatan juga akan dihantar ke Turkiye dan Syria.
"Pakistan bersedia untuk memberi bantuan yang diperlukan kepada Turkiye dan Syria pada masa yang sukar dan mencabar ini," menurut ketua Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana Kebangsaan (NDMA) Inam Haider Malik.
Agensi itu sedang menyelaras usaha bantuan dengan Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana dan Kecemasan Turkiye (AFAD) yang telah mengerahkan kira-kira 25,000 anggotanya ke kawasan yang terjejas.
Beberapa negara telah menghantar pasukan mencari dan menyelamat dan mengumumkan bantuan kemanusiaan.
Pesawat tentera C-17 India dengan lebih 50 anggota Pasukan Tindak Balas Bencana Kebangsaan, peralatan dan bahan bantuan tiba di Adana dan sebuah lagi pesawat sedang dalam perjalanan ke Turkiye pada Selasa, kata Menteri Luar Subrahmanyam Jaishankar.
Media India melaporkan tentera India akan membuka hospital lapangan di wilayah Turki yang dilanda gempa bumi.
Qatar berkata ia akan membekalkan 10,000 rumah bergerak selain menghantar pasukan tindak balas kecemasan serta memulakan penerbangan bantuan.
Setiausaha Agung Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) Hissein Brahim Taha pada Isnin merayu bantuan segera disalurkan kepada Turkiye dan Syria.
Korea Selatan pula menawarkan AS$5 juta dalam bentuk bantuan kemanusiaan kecemasan serta akan menghantar anggota penyelamat dan bekalan perubatan.
Angka kematian di Turkiye meningkat kepada lebih 3,400 pada Selasa apabila lebih banyak mayat ditemukan di bawah runtuhan dan jumlah yang cedera melebihi 20,000.
Sejumlah 5,700 bangunan runtuh – menurut pihak berkuasa Pengurusan Bencana dan Kecemasan Turkiye (AFAD).
Di Syria, lebih 1,600 orang dilaporkan terkorban dan kira-kira 3,500 yang lain cedera. – BERNAMA