Selasa, 7 Februari 2023 | 4:50pm
Anggota penyelamat bertungkus lumus mengesan mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan bangunan di Adana, selatan Turkiye. - Foto AP
Anggota penyelamat bertungkus lumus mengesan mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan bangunan di Adana, selatan Turkiye. - Foto AP

Turkiye tahan 4 individu muat naik hantaran cetus panik

ISTANBUL: Polis Turkiye hari ini menahan empat individu kerana muat naik hantaran provokatif di media sosial susulan gempa bumi 7.8 pada skala Richter di selatan negara itu.

Gempa bumi melanda wilayah itu awal pagi semalam setakat ini mengorbankan lebih 4,800 orang di Turkiye dan Syria, mencederakan ribuan orang dan meninggalkan ramai lagi tanpa tempat berlindung dalam kesejukan.

Empat individu itu ditahan selepas pegawai menjumpai akaun yang berkongsi "hantar berunsur provokatif bertujuan menimbulkan ketakutan dan panik", kata polis.

Pihak berkuasa berkata siasatan yang lebih meluas terhadap akaun media sosial sedang dijalankan tetapi tidak menjelaskan secara terperinci kandungan hantaran itu.

Media sosial Turkiye sarat dengan hantaran oleh orang ramai yang mengadu mengenai kekurangan usaha mencari dan menyelamat di kawasan mereka, khususnya di Hatay.

Polis kemudiannya menjelaskan pihaknya akan menyelaraskan maklumat alamat dan lokasi warga yang memerlukan bantuan segera.

Pihak berkuasa Turkiye dalam beberapa tahun kebelakangan ini bertindak keras terhadap hantaran di media sosial, terutamanya yang dianggap menyokong keganasan.

Bagaimanapun tindakan itu didakwa menyekat kebebasan bersuara. - AFP

Berita Harian X