Ahad, 22 Januari 2023 | 3:15pm
China melaporkan hampir 13,000 kematian berkaitan COVID-19 di hospital antara 13 dan 19 Januari lalu. - Foto AGENSI
China melaporkan hampir 13,000 kematian berkaitan COVID-19 di hospital antara 13 dan 19 Januari lalu. - Foto AGENSI

COVID-19: China catat hampir 13,000 kematian baharu

BEIJING: China melaporkan hampir 13,000 kematian berkaitan COVID-19 di hospital antara 13 dan 19 Januari lalu, sekali gus mencatatkan jumlah hampir 60,000 dalam tempoh sebulan atau lebih sebelum itu.

Menurut pakar, gelombang jangkitan merentasi negara semakin memuncak, manakala kemas kini jumlah kematian daripada Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit China diadakan ketika keraguan terhadap ketelusan data Beijing di peringkat global.

China pada 14 Januari lalu melaporkan hampir 60,000 kematian berkaitan akibat COVID-19 di hospital antara 8 Disember dan 12 Januari, peningkatan besar daripada lebih 5,000 kematian yang dilaporkan sebelum ini sepanjang tempoh pandemik.

Sesetengah pakar kesihatan menjangkakan lebih sejuta orang akan mati akibat penyakit itu di China tahun ini, dengan firma data kesihatan yang berpangkalan di Britain Airfinity meramalkan kematian COVID-19 boleh mencecah 36,000 sehari minggu ini.

Ketika berjuta-juta pekerja asing pulang ke rumah untuk sambutan Tahun Baharu Cina, pakar kesihatan bimbang mengenai penduduk luar bandar di mana kemudahan perubatan adalah 'miskin'.

Dilaporkan, kira-kira 110 juta perjalanan penumpang kereta api dianggarkan pada 7 hingga 21 Januari lalu.

Menurut ketua ahli epidemiologi di Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit China, Wu Zunyou, pergerakan besar-besaran orang ketika tempoh cuti mungkin menyebarkan wabak COVID-19, meningkatkan jangkitan di beberapa kawasan.

"Tetapi gelombang COVID kedua tidak mungkin berlaku dalam tempoh terdekat.

"Kemungkinan pemulihan besar COVID-19 di China dalam tempoh dua atau tiga bulan akan datang adalah jauh kerana 80 peratus orang sudah dijangkiti," katanya.- REUTERS

Berita Harian X