Sabtu, 21 Januari 2023 | 9:58pm
Kakitangan farmasi perubatan tradisional Cina (TCM) sedang menyediakan ubat di Beijing, China, ketika pandemik COVID-19 semakin merebak. Foto AFP
Kakitangan farmasi perubatan tradisional Cina (TCM) sedang menyediakan ubat di Beijing, China, ketika pandemik COVID-19 semakin merebak. Foto AFP

COVID-19: Penduduk China beralih kepada ubat tradisional

BEIJING: Penduduk China kini beralih kepada perubatan tradisional ketika COVID-19 menjangkiti sebahagian besar warga negara itu, menyebabkan berjuta-juta orang sakit dan mencetuskan kekurangan ubat-ubatan.

Malah, Presiden China, Xi Jinping, turut mempromosikan perubatan tradisional Cina (TCM) sejak permulaan wabak itu, manakala pegawai kesihatan memuji 'peranan pentingnya' dalam memerangi coronavirus.

Merangkumi pelbagai rawatan daripada ubat herba dan urutan kepada akupunktur serta diet, TCM sudah digunakan selama beribu-ribu tahun untuk merawat pelbagai jenis penyakit.

Bagaimanapun, pengkritik mengatakan ia tidak berkesan bagi merawat penyakit sebenar dan terdapat sedikit data yang disemak oleh penyelidik untuk menyokong dakwaan mengenai keberkesanannya.

Namun, berjuta-juta penduduk di China tetap menggunakannya, biasanya bersama-sama dengan perubatan moden untuk mengurangkan gejala.

Justeru, Beijing menggesa pihak berkuasa tempatan untuk menghebahkan secara aktif dan objektif peranan serta keberkesanan TCM dalam rawatan COVID-19.

Pengerusi epidemiologi di Sekolah Kesihatan Awam Universiti Hong Kong, Ben Cowling, berkata pihaknya tidak tahu sama ada rawatan itu berkesan atau tidak kerana ia belum dikaji dalam ujian klinikal.

"Saya tidak akan menolak kemungkinan bahawa sesetengah daripadanya berkesan, tetapi saya juga tidak akan menolak kemungkinan bahawa sebahagian daripadanya mungkin berbahaya," katanya.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) hanya mengesyorkan rawatan COVID-19 yang berasaskan ubat kimia.

WHO menasihatkan negara untuk mengumpul bukti dan data yang boleh dipercayai mengenai amalan serta produk TCM itu.

Perubatan Barat kekal sebagai cara penjagaan pilihan di China, tetapi penyokong TCM berkata menggabungkan kedua-duanya lebih berkesan bagi merawat COVID-19.

Pengarah Hospital Perubatan Tradisional Cina Beijing, Liu Qingquan, menjelaskan kedua-dua perubatan itu melengkapi antara satu sama lain dan boleh menyelesaikan demam, sakit sendi, keletihan, sakit tekak, batuk dan gejala lain. - AFP

Berita Harian X