Jumaat, 20 Januari 2023 | 3:14pm
Penumpang komuter memakai pelitup muka ketika keluar dari Stesen Tokyo di jepun. - Foto AP
Penumpang komuter memakai pelitup muka ketika keluar dari Stesen Tokyo di jepun. - Foto AP

Jepun turun status COVID-19 kepada selesema biasa

TOKYO: Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida, mengumumkan rancangan untuk menurunkan status sah COVID-19 sehingga setara dengan influenza bermusim pada musim bunga.

Perkara itu adalah satu langkah yang akan melonggarkan lagi pemakaian topeng dan langkah pencegahan lain ketika negara itu berusaha untuk kembali normal.

Kishida berkata beliau sudah mengarahkan pakar dan pegawai kerajaan untuk membincangkan butiran mengenai menurunkan status COVID-19.

Perubahan itu juga akan menghapuskan peraturan pengasingan diri dan keperluan antivirus lain dan membenarkan pesakit COVID-19 mendapatkan rawatan di mana-mana hospital dan bukannya hanya kemudahan khusus.

"Untuk kembali kepada kehidupan harian biasa, kami di Jepun mengambil langkah-langkah menyesuaikan diri untuk hidup dengan coronavirus, kami akan mengkaji langkah konkrit untuk secara beransur-ansur bergerak ke langkah seterusnya," kata Kishida.

Di Jepun, COVID-19 kini dikategorikan sebagai penyakit Kelas 2, sama seperti SARS dan batuk kering, dan tertakluk pada menyekat pergerakan pesakit dan hubungan rapat mereka, sambil membenarkan kerajaan pusat dan tempatan mengeluarkan langkah kecemasan.

Menurunkannya kepada Kelas 5 bermakna membatalkan semua peraturan berkenaan.

Perubahan yang dirancang itu menandakan titik perubahan utama dalam dasar COVID-19 Jepun ke arah mengembalikan kegiatan sosial dan ekonomi seperti sebelum pandemik.

Langkah itu, bagaimanapun, dibuat ketika Jepun menghadapi jangkitan yang meluas dan mencatatkan tahap kematian tinggi pada gelombang kelapan sejak wabak itu bermula tiga tahun lalu.

Menurut Kementerian Kesihatan Jepun, rekod tertinggi kematian harian dicatatkan setinggi 503 kes pada Sabtu lalu.

Pakar berkata peningkatan terkini boleh dikaitkan dengan penyakit kronik yang semakin teruk di kalangan pesakit yang lebih tua.

Menurunkan status jangkitan COVID-19 di bawah undang-undang penyakit berjangkit boleh menghapuskan peraturan kemasukan ke hospital dan pengasingan diri yang berterusan.

Ia secara langsung membantu mengosongkan katil hospital yang dikhaskan untuk pesakit COVID-19, kata Menteri Kesihatan, Katsunobu Kato, kepada pemberita.

Menurutnya, tujuannya untuk mewujudkan sistem, iaitu COVID-19 boleh dirawat sebagai sebahagian daripada perkhidmatan perubatan biasa, namun menukar klasifikasi tidak bermakna coronavirus sudah terhapus.

"Kami masih memerlukan semua orang untuk mengambil langkah sukarela dengan menggunakan pelitup muka dan langkah berjaga-jaga," katanya.

Kato berkata, pemakaian pelitup muka tidak perlu di luar rumah sekarang dan penggunaan dalaman juga akan dikurangkan sebaik saja penurunan taraf dilaksanakan.

Tambah beliau, langkah itu memerlukan beberapa pelarasan untuk orang ramai, tempat kerja, majlis perbandaran dan hospital, tetapi enggan menetapkan garis masa yang tepat, selain daripada mengatakan ia akan berlaku pada musim bunga.

Butiran perubahan itu masih dalam proses pelaksanaan tetapi kos rawatan dan vaksin COVID-19 masih ditanggung oleh kerajaan buat masa ini. - AP

Berita Harian X