Khamis, 24 November 2022 | 3:26pm
Petugas kesihatan berkawal di kawasan perumahan selepas sekatan pergerakan dilaksanakan di Beijing berikutan peningkatan kes jangkitan COVID-19. - Foto AFP
Petugas kesihatan berkawal di kawasan perumahan selepas sekatan pergerakan dilaksanakan di Beijing berikutan peningkatan kes jangkitan COVID-19. - Foto AFP

COVID-19: China catat kes jangkitan harian tertinggi sejak 2020

BEIJING: China mencatatkan jumlah harian tertinggi kes baharu COVID-19, mengikut data rasmi yang dikeluarkan hari ini.

Situasi itu berlaku ketika kerajaan meneruskan pendekatan dasar sifar bagi menangani wabak itu termasuk melaksanakan perintah berkurung dan sekatan pergerakan.

Jumlah itu agak kecil jika dibandingkan dengan populasi penduduk China, sekitar 1.4 bilion dan mengambil kira beban kes ditanggung negara Barat pada kemuncak wabak itu sebelum ini.

Bagaimanapun, di bawah dasar sifar COVID-19 yang ketat di Beijing, walaupun penularan wabak dalam skala kecil, ia boleh menyebabkan seluruh bandar ditutup, selain kontak rapat pesakit dikenakan syarat kuarantin yang ketat.

Biro Kesihatan Kebangsaan berkata, China merekodkan 31,454 kes tempatan dengan 27,517 adalah kes positif COVID-19 tanpa gejala.

Perlanjutan dasar sifar COVID-19 mencetuskan kebencian, malah sebahagian besar penduduk China muak kerana ia masih diteruskan dalam pandemik wabak itu bakal memasuki tahun ketiga.

Ia turut mencetuskan protes secara meluas di China dan menjejaskan produktiviti selain merencatkan pertumbuhan gergasi ekonomi kedua terbesar dunia itu.

Semalam, protes ganas berlaku di antara pihak berkuasa dan pekerja di kilang iPhone, Foxxconn, wilayah tengah China.

Angka terkini itu melebihi kes jangkitan pada pertengahan April lalu yang merekodkan 29,390 kes ketika perintah berkurung dilaksanakan di Shanghai dengan penduduk bergelutu untuk membeli makanan dan mendapatkan akses bagi perubatan.

Beberapa bandar termasuk Beijing, Shanghai, Guangzhou dan Chongqing bertindak memperketat sekatan COVID-19 susulan peningkatan kes. - AFP

Berita Harian X