Ahad, 20 November 2022 | 6:13pm
Orang ramai beratur untuk menjalani ujian saringan COVID-19 di Beijing, hari ini. - FOTO AFP
Orang ramai beratur untuk menjalani ujian saringan COVID-19 di Beijing, hari ini. - FOTO AFP

China lapor korban pertama COVID-19 dalam tempoh 6 bulan

BEIJING: China hari ini melaporkan korban pertama COVID-19 dalam tempoh enam bulan, ketika berdepan peningkatan jangkitan virus itu meskipun langkah ketat sudah diambil bagi mengekang penularannya, termasuk melaksanakan perintah berkurung, kuarantin serta ujian saringan besar-besaran.

Pegawai perbandaran mengumumkan seorang lelaki berusia 87 tahun meninggal dunia di Beijing, semalam.

Menurut laporan CCTV, kematian itu yang juga pertama diumumkan sejak Mei lalu, membabitkan kes sederhana tetapi kesihatan warga emas terbabit semakin merosot selepas mengalami jangkitan bakteria.

Suruhanjaya Kesihatan Nasional pula memaklumkan lebih 24,000 jangkitan baharu direkodkan di seluruh negara dalam tempoh 24 jam lalu.

Walaupun angka itu agak rendah berbanding negara lain, lonjakan kes dilihat ketara sejak kebelakangan ini selepas China hanya mencatat sedikit kes selama berbulan-bulan.

Pada 11 November lalu, Beijing mengumumkan pelonggaran sekatan COVID-19, termasuk mengurangkan tempoh kuarantin ke atas ketibaan antarabangsa.

Beijing yang mencatat 621 kes baharu COVID-19, hari ini, mengarahkan beberapa penduduknya menjalani kuarantin di rumah dan sebilangan lagi ke pusat kuarantin. Sesetengah pusat beli-belah di ibu negara ini pula ditutup, hari ini, manakala perniagaan lain mengurangkan waktu beroperasi dan restoran hanya membenarkan pembelian secara bungkus.

Guangzhou yang dikenal pasti sebagai antara 'hotspot' penularan ketika ini turut melaporkan lebih 8,000 jangkitan baharu, hari ini, sekali gus mendorong pelaksanaan ujian saringan besar-besaran di daerah Haizhu yang mempunyai kira-kira 1.8 juta penduduk.

Di daerah Chaoyang pula, pihak majikan diminta membenarkan kakitangan bekerja dari rumah.

Beberapa taman, dewan sukan dan gimnasium turut ditutup, selain ada institusi pendidikan yang menjalankan pembelajaran secara dalam talian - AFP

Berita Harian X