Jumaat, 9 September 2022 | 5:07pm
Seorang lelaki meletakkan jambangan bunga dan gambar Ratu Elizabeth II di luar Konsulat British di Hong Kong. - Foto AFP
Seorang lelaki meletakkan jambangan bunga dan gambar Ratu Elizabeth II di luar Konsulat British di Hong Kong. - Foto AFP

'Boss lady': Ratu Elizabeth dikenang di bandar jajahan Hong Kong

HONG KONG: Ramai warga Hong Kong menggunakan media sosial untuk meratapi kemangkatan Ratu Elizabeth II yang digelar "boss lady" dalam kalangan penghuni berusia di bandar yang merupakan jajahan terakhir Britain.

Ratu Elizabeth melawat Hong Kong sebanyak dua kali ketika pemerintahannya, manakala anak lelakinya, kini Raja Charles III, hadir untuk penyerahan kepada China pada 1997.

"Nenek yang membesarkan saya selalu bercerita mengenai 'boss lady', saya banyak mendengar mengenai Ratu Elizabeth sehingga menganggap baginda seperti keluarga... hari ini terasa seperti kehilangan ahli keluarga," tulis pengguna Facebook Vincent Lam.

"Ia adalah penghujung era... terima kasih atas pengabdian baginda sepanjang hayat," menurut satu hantaran di kumpulan Facebook Hong Kong Reminiscence yang mendapat hampir 4,000 "Like" dalam beberapa jam selepas kemangkatan Ratu Elizabeth, yang tersebar semalaman di bandar itu.

Britain menyaksikan dua gelombang utama imigrasi Hong Kong sejak beberapa dekad kebelakangan ini, yang pertama menjelang penyerahan semula dan kedua dalam tempoh dua tahun lalu apabila China bertindak tegas terhadap perbezaan pendapat politik.

Menurut YouTuber Tech Hong Kong yang popular, Lok Cheung, baginda sentiasa mendapat penghormatan tertinggi kami.

"Saya akan merindui baginda," katanya.

Seorang artis komik yang sudah berpindah, melukis panel dirinya memberitahu Ratu Elizabeth: "Terima kasih kerana memberikan kami Hong Kong, yang pada suatu masa dahulu sangat indah".

Rekod penjajah Britain di Hong Kong mencetuskan reaksi bercampur-baur di bandar itu.

Ketika zaman penjajahan, kedua-dua penyokong setia Beijing dan demokrat Hong Kong berkempen menentang kawalan British.

Ramai penyokong demokrasi, bagaimanapun, melihat era British adalah lebih baik apabila China mula menguasai bandar itu.

Malah, sekumpulan kecil mengibarkan bendera penjajah ketika tunjuk perasaan besar-besaran pada 2019, yang menimbulkan kemarahan Beijing.

China melaksanakan undang-undang keselamatan negara yang menyeluruh berikutan tunjuk perasaan itu dan membanteras sebarang tindakan yang dianggap sebagai "pakatan sulit asing", sekali gus menyebabkan upacara perkabungan Ratu Elizabeth II sesuatu yang berisiko dalam keadaan semasa.

Nathan Law, ahli politik prodemokrasi terkemuka yang kini menetap di Britain, Nathan Law dan dikehendaki polis Hong Kong di bawah undang-undang keselamatan, berkata Ratu Elizabeth mempunyai tempat yang istimewa di hati ramai warga Hong Kong.

"Permaisuri disayangi oleh berjuta-juta rakyat Hong Kong," katanya menerusi ciapan di Twitter.

China sebelum ini, berang dengan kritikan Britain ke atas Hong Kong, termasuk keputusan London untuk menawarkan jutaan warga Hong Kong laluan kewarganegaraan kerana tindakan keras berterusan.

Bagaimanapun, pemimpin Hong Kong, John Lee membuat kenyataan damai selepas kematian Ratu Elizabeth II.

"Baginda sangat dihormati, dikagumi dan dipuji oleh rakyat Britain.

"Kami mengucapkan takziah kepada rakyat United Kingdom yang kini melalui tempoh berkabung," katanya. - AFP

Berita Harian X