Khamis, 1 September 2022 | 5:08pm
Sebuah jet pejuang J-16 di Hari Terbuka tentera udara China di wilayah Jilin. - Foto AFP
Sebuah jet pejuang J-16 di Hari Terbuka tentera udara China di wilayah Jilin. - Foto AFP

Taiwan rekod 440 pencerobohan pesawat China, bulan lalu

TAIPEI: Taiwan menyaksikan sejumlah rekod pencerobohan udara tentera China bulan lalu, dengan lebih 440 pesawat perang memasuki zon pertahanan udaranya ketika Beijing dilihat mengamuk apabila penggubal undang-undang Amerika Syarikat (AS) melawat pulau itu.

Kini, seramai 23 juta penduduk Taiwan hidup di bawah ancaman pencerobohan berterusan oleh China, yang melihat negara demokrasi itu sebagai sebahagian daripada wilayahnya akan ditebus semula suatu hari nanti.

Peningkatan dramatik dalam pencerobohan ke dalam zon pengenalan pertahanan udara (ADIZ) Taiwan berlaku bulan lalu, ketika Beijing mengadakan latihan ketenteraan yang belum pernah berlangsung sebelum ini, bagi membantah lawatan ke Taipei oleh Speaker Dewan Rakyat AS, Nancy Pelosi dan ahli politik lain.

Parti Komunis China mengecam mana-mana tindakan diplomatik yang mungkin memberikan kesahihan pentadbiran terhadap Taiwan dan bertindak balas dengan meningkatkan kemarahan apabila lawatan pegawai dan ahli politik Barat itu berlangsung.

Selama seminggu selepas lawatan Pelosi pada awal Ogos, China menghantar kapal perang, peluru berpandu dan jet pejuang ke perairan dan langit sekitar Taiwan, latihan terbesar dan paling agresif sejak pertengahan 1990-an.

Menurut pangkalan data yang disusun oleh AFP berdasarkan angka yang dikeluarkan oleh kementerian pertahanan Taipei, pada bulan lalu sahaja, sebanyak 446 pesawat China - kebanyakannya jet pejuang - menyeberang ke zon pertahanan udara (ADIZ) Taiwan.

Pada bulan itu sahaja, terdapat lebih daripada 380 pesawat China menceroboh berbanding sepanjang tahun 2020.

Setakat tahun ini, pesawat China sudah melakukan sekurang-kurangnya 1,068 pencerobohan ke dalam ADIZ, melebihi jumlah 2021 iaitu sebanyak 969 jet.

Sebelum Ogos, bulan lain ruang udara Taiwan terbanyak diceroboh adalah pada Oktober 2021, dengan 196 pesawat.

ADIZ Taiwan jauh lebih besar daripada ruang udaranya. Ia bertindih dengan sebahagian daripada ADIZ China dan juga termasuk beberapa tanah besar.

Penguasaan Beijing semakin ketara di bawah Presiden Xi Jinping, pemimpin China yang paling autoritarian dan tegas di peringkat antarabangsa dan peningkatan aktiviti itu memberi tekanan kepada tentera Taiwan yang dilihat masih ketinggalan, terutamanya armada jet pejuangnya yang semakin berusia.

Minggu lalu, Taiwan mengumumkan rancangan untuk meningkatkan rekod belanjawan pertahanan tahun depan kepada Tw$586.3 bilion (AS$19.2 bilion/RM86 bilion) susulan ancaman tentera China yang semakin meningkat.

Dari segi sejarah, tentera Taiwan lebih mengutamakan pembelian jet pejuang dan kapal perang tetapi pakar strategi AS dan Taiwan semakin mendesak Taipei untuk menggunakan strategi peperangan 'landak' dan sistem senjata mudah alih yang murah. - AFP

Berita Harian X