Jumaat, 23 September 2022 | 8:38pm
Pejuang Taliban berkawal di tapak letupan, berhampiran sebuah masjid, di Kabul, Afghanistan. - Foto AP
Pejuang Taliban berkawal di tapak letupan, berhampiran sebuah masjid, di Kabul, Afghanistan. - Foto AP

4 maut susulan letupan berhampiran masjid di Kabul

KABUL: Empat maut susulan kejadian letupan di luar masjid dikunjungi anggota Taliban di ibu negara Afghanistan, beberapa minit selepas solat Jumaat selesai.

Letupan itu berlaku berhampiran pintu masuk masjid Wazir Akbar Khan, tidak jauh dari bekas kubu Zon Hijau yang menempatkan beberapa kedutaan sebelum Taliban merampas kuasa pada Ogos 2021.

Masjid itu kini sering dikunjungi komander dan pejuang kanan Taliban.

Pertubuhan bukan kerajaan, Itali Emergency, yang mengendalikan hospital di Kabul, berkata ia menerima '14 mangsa' akibat letupan itu.

"Empat mangsa maut sejurus tiba," katanya di Twitter.

Imej tidak disahkan yang disiarkan di media sosial menunjukkan kereta remuk terbakar di atas jalan di luar masjid.

Jurucakap polis Kabul, Khalid Zadran mengesahkan kejadian dan 'mangsa yang maut', bagimanapun tidak memberikan perincian.

Masjid sama pernah dibom pada 2020, mengorbankan imamnya.

Serangan bom kerap berlaku di Kabul dan bandar lain, walaupun keganasan keseluruhannya menurun dengan ketara di seluruh Afghanistan sejak perang berakhir dan Taliban kembali berkuasa.

Beberapa masjid dan paderi menjadi sasaran dalam serangan itu yang beberapa daripadanya didakwa dilakukan kumpulan Daesh.

Dua kakitangan kedutaan Russia maut dalam kejadian pengeboman berani mati di luar pejabat awal bulan ini, serangan terbaru di ibu negara yang didakwa dilakukan kumpulan itu. - AFP

Berita Harian X