Rabu, 14 September 2022 | 4:35pm
Semakin ramai penduduk di Colombo, Sri Lanka tidak lagi mampu membeli sayuran di pasar kerana harganya, seperti mana harga kebanyakan barangan keperluan harian, naik berlipat ganda akibat inflasi susulan krisis ekonomi terburuk di negara itu. - Foto EPA
Semakin ramai penduduk di Colombo, Sri Lanka tidak lagi mampu membeli sayuran di pasar kerana harganya, seperti mana harga kebanyakan barangan keperluan harian, naik berlipat ganda akibat inflasi susulan krisis ekonomi terburuk di negara itu. - Foto EPA

Lebih 6.2 juta penduduk Sri Lanka tiada makanan

COLOMBO: Lebih 6.2 juta penduduk di Sri Lanka menghadapi masalah kekurangan makanan dan keadaan itu dijangka bertambah buruk jika tidak ditangani segera.

Agensi berita Sputnik melaporkan, jumlah itu merangkumi 28 peratus penduduk manakala 66,000 orang lagi mengalami krisis makanan yang teruk.

Menurut Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) di bawah naungan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Program Makanan Sedunia (WFP), isu keselamatan makanan di negara itu mungkin terus merosot.

Antara punca utama ialah kekurangan barangan import, kenaikan harga barangan, masalah peluang pekerjaan dan hasil tanaman yang semakin sedikit.

PBB menjangkakan keadaan di Sri Lanka akan bertambah buruk antara Oktober 2022 sehingga Februari 2023.

Kedua-dua agensi itu juga menyatakan, kerajaan dan semua rakan kongsi Sri Lanka perlu menyediakan sokongan kepada rakyat melalui program bantuan makanan serta sara hidup.

Krisis kewangan yang dialami Sri Lanka ketika ini disifatkan paling teruk sejak negara itu mencapai kemerdekaan pada 1948.

Kemelut itu didakwa berpunca daripada kekurangan pengaliran mata wang asing dan jumlah ketibaan pelancong asing akibat pandemik COVID-19.

Antara bahan kritikal yang paling teruk terjejas di negara itu termasuk bekalan bahan api untuk kenderaan dan gas memasak. - AGENSI

Berita Harian X