Rabu, 31 Ogos 2022 | 1:39am
- Foto hiasan
- Foto hiasan

Angkasawan China berjaya menumbuhkan benih padi di stesen angkasa lepas

BEIJING: Angkasawan China dilaporkan berjaya menumbuhkan benih padi di stesen angkasa lepas Tiangong, sekali gus menyumbang kepada penerokaan usaha bercucuk tanam untuk memenuhi keperluan makanan dalam misi angkasa lepas jangka panjang.

Berbanding eksperimen penanaman padi lain yang pernah dilakukan sebelum ini, usaha dijalankan di Tiangong itu adalah yang pertama seumpamanya menyasarkan kitaran lengkap tanaman itu, bermula dengan benih hingga menjadi tumbuhan matang dan menghasilkan benih baharu.

China melancarkan makmal angkasa lepas Wentian ke orbit pada 24 Julai lalu, yang antara lain untuk tujuan eksperimen penanaman padi.

Penyelidik di Pusat Kecemerlangan dalam Sains Tumbuhan Molekular, Akademi Sains China, Zheng Huiqiong, berkata sejak eksperimen itu bermula 29 Julai lalu, benih padi varieti tinggi telah tumbuh mencecah ketinggian kira-kira 30 sentimeter, manakala benih padi varieti pendek pula tumbuh hingga kira-kira lima sentimeter.

"Angkasawan terbabit akan terus memantau tanaman berkenaan. Jika eksperimen itu berjaya, mereka akan mengumpulkan benih baharu yang terhasil dan membawanya pulang ke Bumi untuk kajian lanjut," katanya.

Sekiranya mahu mendarat dan menerokai planet Marikh, Zheng berkata, bekalan makanan dibawa dari Bumi tidak akan mencukupi untuk angkasawan menempuh perjalanan yang jauh serta misi di angkasa lepas.

"Justeru, kita perlu mencari sumber makanan yang mampan untuk penerokaan angkasa lepas jangka panjang," katanya. - AGENSI

Berita Harian X