Ahad, 21 Ogos 2022 | 9:11pm
Hujan lebat menyebabkan banjir kilat di wilayah Logar, timur Afghanistan, membunuh sekurang-kurangnya 20 orang dan memusnahkan lebih 3,000 kediaman. - Foto AGENSI
Hujan lebat menyebabkan banjir kilat di wilayah Logar, timur Afghanistan, membunuh sekurang-kurangnya 20 orang dan memusnahkan lebih 3,000 kediaman. - Foto AGENSI

20 maut banjir kilat melanda wilayah timur Afghanistan

KABUL: Hujan lebat menyebabkan banjir kilat di wilayah Logar, timur Afghanistan, membunuh sekurang-kurangnya 20 orang dan memusnahkan lebih 3,000 kediaman, menurut pejabat gabenor wilayah hari ini.

Dalam satu kenyataan, katanya, hujan yang melanda beberapa kawasan di wilayah itu semalam turut mencederakan lebih 30 mangsa selain ada yang terbunuh.

Katanya, banjir turut memusnahkan berpuluh-puluh terusan dan kira-kira 2,000 hektar tanah pertanian, terutama kebun, selain kira-kira 2,000 ternakan turut terkorban.

Berpuluh-puluh rakyat Afghanistan maut setiap tahun akibat banjir dan hujan lebat, terutama di kawasan luar bandar yang miskin di mana pembinaan rumah tidak kukuh sering berisiko runtuh.

Pasukan keselamatan dan pertubuhan kebajikan sedang memindahkan mangsa ke kawasan selamat selepas rumah mereka musnah, kata pihak berkuasa wilayah.

Jurucakap kerajaan, Bilal Karimi, dalam satu kenyataan berasingan pula menggesa masyarakat antarabangsa untuk menyalurkan bantuan.

"Kami dengan segera meminta masyarakat antarabangsa untuk berganding bahu dengan rakyat Afghanistan pada masa genting ini dan berusaha membantu mangsa," katanya.

Jabatan Meteorologi negara itu meramalkan lebih banyak hujan lebat serta banjir dijangka merentasi 21 wilayah dalam tempoh beberapa hari akan datang.

Bantuan asing dan skim bantuan bencana sudah dikurangkan secara mendadak sejak Taliban kembali berkuasa pada Ogos tahun lalu.

Negara barat membangkitkan kewaspadaannya bahawa sebarang bantuan boleh dikawal Taliban dan boleh digunakan untuk mengukuhkan cengkaman mereka ke atas Afghanistan. - AFP

Berita Harian X