Khamis, 18 Ogos 2022 | 8:59pm
Polis Sri Lanka melepaskan gas pemedih mata untuk menyuraikan tunjuk perasaan pertama sejak negara dilanda krisis itu menarik balik darurat. - AGENSI
Polis Sri Lanka melepaskan gas pemedih mata untuk menyuraikan tunjuk perasaan pertama sejak negara dilanda krisis itu menarik balik darurat. - AGENSI

Rusuhan: Polis Sri Lanka lepas gas pemedih mata

COLOMBO: Polis Sri Lanka melepaskan gas pemedih mata dan meriam air untuk menyuraikan tunjuk perasaan pertama sejak negara dilanda krisis itu menarik balik darurat.

Kejatuhan ekonomi yang tidak pernah berlaku sebelum ini sering mencetuskan perhimpunan antikerajaan yang besar pada tahun ini selepas berbulan-bulan kesusahan yang disebabkan oleh kekurangan barangan keperluan dan inflasi yang meningkat.

Ratusan pelajar cuba berarak ke pusat bandar di Colombo untuk perhimpunan di luar stesen kereta api, sebelum kumpulan mereka disekat dan disuraikan oleh pegawai yang bersenjatakan belantan dan perisai rusuhan.

Seorang pegawai polis memberitahu AFP bahawa Ketua Persekutuan Pelajar Antara Universiti, Wasantha Mudalige adalah antara enam individu yang ditahan.

Polis berkata, mereka menggunakan kekerasan yang minimum dan hanya menangkap individu yang menyerang pegawai atau merosakkan harta benda awam.

Presiden Ranil Wickremesinghe, mengumumkan pada minggu ini kerajaannya tidak akan memperbaharui darurat yang dikenakan pada bulan lalu selepas ratusan ribu orang menyerbu rumah presiden terdahulu, Gotabaya Rajapaksa.

Langkah itu dikritik secara meluas oleh kumpulan hak asasi manusia sebagai had kejam terhadap kebebasan.

Kumpulan pelajar sejak itu cuba mendapatkan sokongan untuk bantahan terhadap Wickremesinghe, yang mengambil alih kuasa selepas Rajapaksa melarikan diri ke luar negara.

Seramai 22 juta penduduk Sri Lanka mengalami kekurangan makanan, bahan api dan ubat-ubatan sejak akhir tahun lalu selepas negara itu kehabisan mata wang asing untuk membiayai import.

Negara itu juga gagal membayar hutang asingnya sebanyak AS$51 bilion pada pertengahan April dan sedang berbincang dengan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF). - AFP

Berita Harian X