Sabtu, 6 Ogos 2022 | 10:29pm
Gambar umum menunjukkan jalan utama di tengah Kabul, Afghanistan. - Foto REUTERS
Gambar umum menunjukkan jalan utama di tengah Kabul, Afghanistan. - Foto REUTERS

22 cedera akibat letupan bom di Afghanistan

KABUL: Sebuah bom meletup di jalan raya yang sibuk dengan orang ramai membeli-belah di Kabul, Afghanistan hari ini, menyebabkan sekurang-kurangnya 22 individu cedera.

Letupan itu berlaku di barat bandar itu, yang kerap menjadi tempat pertemuan komuniti minoriti Syiah.

Jurucakap Kementerian Dalam Negeri Afghanistan berkata pasukan penyiasat sudah berada di lokasi kejadian untuk membantu mereka yang cedera dan memantau kemungkinan ada yang maut.

Tiada sebarang kumpulan militan mengaku bertanggungjawab melakukan serangan setakat ini, yang berlaku ketika Asyura, hari peringatan kematian Hussein, cucu Nabi Muhammad, yang kebiasaannya disambut masyarakat Syiah.

Semalam, sekurang-kurangnya lapan individu terbunuh dan 18 lagi cedera dalam letupan di Kabul yang dilakukan oleh militan Daesh.

Daesh tidak mengawal sebarang wilayah di Afghanistan, namun memiliki sel berbahaya yang menjadikan minoriti agama di negara itu sebagai sasaran, selain pengawal Taliban.

Pihak berkuasa Taliban yang kembali berkuasa pada Ogos tahun lalu, memaklumkan akan menyediakan lebih banyak perlindungan untuk masjid dan fasiliti lain milik Syiah.

Seorang cendekiawan Syiah di Kabul, Sayed Kazum Hojat, berkata kerajaan pimpinan Taliban meningkat kawalan keselamatan menjelang Asyura, namun berpandangan mereka perlu meningkatkan pemantauan terhadap sebarang jenis ancaman.

Ketika ini, dianggarkan 10 hingga 20 peratus daripada 39 juta penduduk Afghanistan adalah masyarakat Syiah, termasuk etnik Tajik dan Pashtun yang berbahasa Parsi serta etnik Hazaras, namun tiada kaji selidik terkini untuk mengesahkan data itu. - REUTERS

Berita Harian X