Jumaat, 29 Julai 2022 | 8:37pm
Wong Yat-chin, salah seorang daripada empat aktivis yang mengaku bersalah atas subversif dan berdepan penjara bertahun-tahun. - Foto AFP
Wong Yat-chin, salah seorang daripada empat aktivis yang mengaku bersalah atas subversif dan berdepan penjara bertahun-tahun. - Foto AFP

Aktivis Hong Kong berdepan hukuman penjara

HONG KONG: Empat aktivis Hong Kong hari ini mengaku bersalah atas pertuduhan subversif, satu pelanggaran boleh menyebabkan mereka dipenjarakan selama beberapa tahun di bawah undang-undang keselamatan negara dikenakan Beijing.

China sedang membentuk semula Hong Kong dalam imej autoritariannya, menggunakan undang-undang keselamatan meluas untuk melenyapkan perbezaan pendapat.

Kritikan antarabangsa terbaru terhadap undang-undang itu menyusul minggu ini oleh Jawatankuasa Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang mengatakan ia terlalu luas dan digunakan sewenang-wenangnya.

Empat individu berusia antara 19 dan 21 hari ini, mengaku bersalah atas tuduhan subversif, selepas pendakwa raya mendakwa mereka menghasut orang lain untuk menggulingkan kerajaan.

Mereka boleh dipenjarakan selama beberapa tahun di bawah undang-undang keselamatan, dikenakan China ke atas Hong Kong pada 2020 selepas gelombang protes prodemokrasi yang besar dan kadangkala ganas.

Keempat-empat mereka dituduh mendirikan pondok jalanan untuk mempromosi 'revolusi' terhadap kerajaan China dan untuk menghasut pemisahan.

Sebagai bukti subversif, pihak pendakwaan memetik salah seorang defendan menggesa orang ramai tidak menggunakan aplikasi pengesanan kontak COVID-19 dan tidak mematuhi dasar antiwabak.

Aktivis Wong Yat-chin, Chan Chi-sum, Chu Wai-ying dan Wong Yuen-lam kini menunggu hukuman dan akan kembali ke mahkamah pada 24 September depan.

Lebih 200 orang ditahan setakat ini atas dakwaan pelanggaran undang-undang keselamatan.

Pihak berkuasa China dan Hong Kong menafikan kritikan terhadap undang-undang itu, menyifatkannya 'tidak berasas'.

Ketua Eksekutif Hong Kong, John Lee, hari ini berkata undang-undang itu membawa kestabilan dan keamanan kembali ke bandar berkenaan, menyifatkan kritikan badan pemerhati hak PBB sebagai 'sesat'. - AFP

Berita Harian X